fbpx
MahkamahNasional

Najib bersalah 7 tuduhan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana daripada SCR International Sdn. Bhd.

Kesemua pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Keputusan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali pagi ini

Mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam tuduhan pecah amanah.

Sebaliknya pihak pendakwaan telah berjaya menunjukkan melangkaui keraguan munasabah bahawa Najib telah menggunakan wang sebanyak RM42 juta untuk kegunaan peribadi seperti pembayaran kad kredit dan percutian.


Mahkamah juga mendapat pembelaan Najib bahawa wang berjumlah RM42 juta itu derma daripada keluarga diraja Arab Saudi tidak boleh diterima pakai dan tidak logik.

Mahkamah meminta peguam bela untuk membuat rayuan bagi hukuman.

Peguambela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar pihaknya diberikan sesalinan keputusan ringkas yang oleh Hakim Mohd. Nazlan bagi membolehkan pihaknya menyediakan rayuan.

Terdahulu bekas Presiden UMNO itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan berhubung skandal SRC International pada Julai tahun lalu.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger.

Perbicaraan selama 94 hari itu menyaksikan 96 orang memberi keterangan dengan 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan.

Keputusan hari ini adalah sabitan pertama Najib yang berdepan puluhan pertuduhan lain dalam skandal syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.

Antara kes lain yang sedang dibicarakan ialah berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion, meminda laporan audit 1MDB dan pengubahan wang haram sebanyak RM27 juta milik SRC.

SRC sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB sebelum ia kemudian menjadi milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) kemudiannya.

Untuk rekod ketika menjadi perdana menteri, Najib juga sebelum ini merupakan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, penasihat emeritus SRC dan menteri kewangan.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menetapkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau RM10,000 bergantung mana yang lebih tinggi.

Tiga pertuduhan pecah amanah pula dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang menyediakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan.

Bagaimanapun Najib,67, akan terkecuali daripada hukuman sebatan berdasarkan kepada faktor usianya.

Baki tiga lagi pertuduhan yang dikenakan pada Najib membabitkan dakwaan pengubahan wang haram.

Untuk itu beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Ia menyediakan hukuman penjara sehingga 15 tahun, denda RM5 juta atau lima kali ganda wang yang terlibat, tertakluk kepada mana yang lebih tinggi. – SM

[LAPORAN LANJUT MENYUSUL]

Show More

Related Articles

Back to top button