MahkamahNasional

Perkembangan keputusan perbicaraan Najib bagi kes SRC

MAHKAMAH Tinggi mendapati pihak pembelaan Datuk Seri Najib Razak gagal menimbulkan keraguan atas imbangan kebarangkalian bagi pertuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta.

Najib didakwa terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

Najib berdepan dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia ke-enam dari 2009 sehingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah. – SM

12.35: [BERITA] SRC International: Najib Razak didapati bersalah

12.15 tengah hari: Pendakwa telah berjaya menunjukkan melangkaui keraguan munasabah bahawa Najib telah menggunakan wang sebanyak RM42 juta untuk kegunaan peribadi seperti pembayaran kad kredit dan percutian.

Pembelaan Najib bahawa wang berjumlah RM42 juta adalah derma diterima daripada diraja Arab tidak boleh diterima pakai dan tidak logik.

12 tengah hari: Hakim berkata, pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan salah guna kuasa wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tertuduh tidak dapat menjelaskan mengenai kemasukan wang RM42 juta ke dalam akaunnya.

11.50 pagi: Hakim kata beliau tidak nampak siapa yang begitu berani memalsukan tandatangan milik seorang yang bergelar Perdana Menteri.

11.40 pagi: Hakim sedang memberi alasan kepada setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.

11.20 pagi: Keputusan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali pagi ini.

Najib dituduh buat kali pertama pada 4 Julai 2018 sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 dengan pihak pendakwaan diketuai bekas peguam negara Tommy Thomas.

Najib yang diwakili Peguam Bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC International.

Sepanjang perbicaraan, sebanyak 750 eksibit dikemukakan termasuk dokumen bank, transaksi tunai, minit mesyuarat dan perbualan menerusi Blackberry Messenger.

Perbicaraan selama 94 hari itu menyaksikan 96 orang memberi keterangan dengan 57 saksi pendakwaan dan 19 saksi pembelaan.

Bagi tuduhan pecah amanah, dia didakwa mendapatkan suapan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan dalam memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kepada SRC International.

11.00 pagi:  Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa dalam kes penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib berdepan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), 3 pertuduhan pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

10.43 pagi: Mahkamah Tinggi mendapati pihak pembelaan Najib gagal menimbulkan keraguan atas imbangan kebarangkalian bagi pertuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International.

(Visited 237 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button