fbpx
Nasional

Dihina di dunia tetapi kaya di akhirat

ANALISIS

SUSULAN daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mendapati pihak pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah gagal menimbulkan keraguan atas imbangan kebarangkalian bagi pertuduhan salah guna kuasa mendapatkan suapan berjumlah RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan terhadap pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International, berikut adalah pandangan yang dilontarkan oleh penulis PEGUAM MUDA KAMPUNG.

  1. Saya sangat bersimpati dengan pendakwaan terpilih terhadap beberapa Pemimpin UMNO seperti Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Seri Najib Razak yang dilakukan di zaman PH memerintah. Bukan setakat didakwa di Mahkamah, tidak kurang juga terlalu ramai masyarakat mengutuk dan menghina mereka di mana-mana sahaja termasuk di laman-laman sosial.
  2. Buat semua Pemimpin UMNO yang saya hormati dan kasihi, Imam Al-Ghazali di dalam Kitabnya yang masyhur “Ihya’ Ulumuddin” di dalam bab “Mengubati Benci Dihina” telah menggariskan 3 keadaan apabila kita dihina, dicaci dan difitnah oleh sebahagian masyarakat.
  3. PERTAMA: Jikalau engkau benar-benar tidak memiliki sifat-sifat yang dituduh itu, tetapi sedikit sebanyak sifat-sifat yang hampir menyerupai atau menyamainya tentu ada. Ingatlah bahawa keburukan yang Allah SWT lindungkan daripada pandangan orang lain itu amat banyak. Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana tidak semua keburukanmu diperlihatkan pada pandangan umat. Beruntunglah engkau kerana hanya sebahagian yang mungkin nampak di mata masyarakat, padahal keburukanmu amat banyak. Berbahagialah kerana keburukan tersebut masih belum tersebar dan dirimu masih dibela, sedangkan hatimu masih teringat bahawa engkau sebenarnya terlepas daripada noda-noda itu.
  4. KEDUA: Anggaplah bahawa keburukan yang diada-adakan itu adalah denda daripada kesalahanmu yang lain atau dosamu yang engkau sedari atau yang engkau tidak sedari. Ingatlah bahawa setiap orang yang mengumpat kamu itu merupakan orang yang menghadiahkan kebaikannya kepada dirimu. Ingatlah pula bahawa setiap orang yang memujimu itu sebenarnya adalah orang yang mematahkan tulang belakangmu, mematikan semangat juangmu dan menyebabkan kesengsaraanmu.
  5. Oleh sebab itu, mengapa engkau bergembira terhadap orang yang terang-terang mematahkan tulang belakangmu dan mematikan semangat juangmu serta menyebabkan kesengsaraan? Mengapa pula engkau harus bersedih hati menerima hadiah kebaikan daripada orang lain. Bukankah kebaikan itu yang dapat mendekatkan dirimu kepada Allah SWT. Bukankah engkau sendiri juga berikrar ingin sekali mendekatkan dirimu kepada Tuhanmu?
  6. KETIGA: Orang yang berbuat demikian sama dengan seorang fakir miskin yang perlu dikasihi. Dia telah berbuat kesalahan untuk agamanya, sehingga jatuh harganya pada pandangan Allah SWT yang esa. Dia merosakkan dirinya sendiri sebab mengada-adakan kedustaan secara terang-terangan. Dia benar-benar berani menerima azab Allah SWT yang amat pedih seksaannya.
  7. Oleh sebab itu, apa gunanya engkau marah pada tindakannya yang keliru dan membahayakan dirinya sendiri, padahal kamu dalam keuntungan. Mengapa engkau membenarkanya, padahal Allah swt sendiri menunjukkan kemurkaan kepadanya. Jangan-jangan syaitan nanti akan bergembira, jikalau engkau membalas dengan berbuat jahat kepadanya kerana pahala yang semestinya engkau peroleh itu tidak dapat engkau miliki kerana telah dilenyapkan oleh balasan jahatmu kepada orang yang mengkhianati dirimu itu.
  8. Oleh yang sedemikian, janganlah engkau mendoakan supaya dia mendapat kerosakan dan kesengsaraan, tetapi berdoalah “Ya Allah perbaikilah kelakuannya, terimalah taubatnya, belas kasihanilah dan ampunilah segala dosa-dosanya”. Bukankah Rasullullah SAW pernah juga disakiti, tetapi Baginda tetap berdoa:

اللهم اغفرلي لقومي اللهم اهد قومي فاءنهم لا يعلمون

“Ya Allah, ampunilah kaumku. Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku sebab mereka itu memang belum mengerti”

  1. Semoga kalian terus tabah menghadapi ujian dan saya serta ramai lagi ahli UMNO dan umat islam senantiasa mendoakan kalian tergolong sebagai Pemimpin yang Adil yang masuk syurga sebagaimana dijamin oleh Nabi Muhammad SAW. – SM


Show More

Related Articles

Back to top button