Nasional

Jabatan Pembangunan Kanak-kanak ditubuhkan berkuat kuasa 1 September – Nancy Shukri

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak ditubuhkan berkuat kuasa 1 September lalu.

Katanya, perkara itu dibuat bagi menggantikan Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jabatan yang diumumkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Feb lalu merupakan solusi terbaik dalam menangani segera isu pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing.

“Jabatan ini diyakini berupaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat khususnya kanak-kanak berlandaskan kepada lima teras utama iaitu pencegahan, pembangunan, perlindungan, pemulihan dan pengintegrasian ke dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Oleh yang demikian, Nancy berkata, jabatan itu telah meluluskan 169 perjawatan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan dan gred untuk tahun ini.

Jelasnya, kelulusan itu dilakukan adalah untuk memastikan kecekapan dan perkhidmatan yang efektif serta profesional dapat diberikan demi kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa usaha menggerakkan komuniti yang telah ditubuhkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak dan Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak serta pembantu pelindung juga akan ditingkatkan di semua 105 daerah.

Katanya, orang ramai hendaklah melaporkan sebarang kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak di Talian Kasih 15999 atau menerusi Whatsapp di talian 019-2615999 yang beroperasi 24 jam. – SM 

Artikel berkaitan > Kemudahan untuk OKU di IPTA antara yang dicadangkan dalam MKBOKU – Nancy Shukri

 

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button