Bencana alam

Bantuan RM500 untuk keluarga mangsa tanah runtuh Kemensah Height

SEBANYAK 27 keluarga terlibat dalam kejadian Tanah Runtuh di Kemensah Height, Ampang menerima bantuan RM500 bagi mengurangkan beban pemindahan sementara dan mendapatkan keperluan asas.

Kesemua mangsa berkenaan dipindahkan selepas kediaman mereka terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku pada pukul 9.30 malam tadi.

Kejadian berkenaan difahamkan bermula dari bahagian belakang sebuah unit banglo no. 8 di Jalan 7 di sini dan turut mengakibatkan rekahan dan pergerakan tanah berlaku dekat unit No. 6 dan 10.

“Sementara itu, pihak MPAJ akan membantu untuk membersihkan kawasan runtuhan dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran akan korek sungai yang tertimbus untuk mengelakkan masalah lain seperti banjir di kawasan atas ataupun aliran Sungai Kemensah sepanjang Sungai Kemensah yang lain.

“Jadi, itu setakat ini tetapi, buat masa ini kita memerlukan sekitar dua atau tiga hari pihak JMG akan membuat kajian dan juga membuat analisa sama ada kawasan ini selamat ataupun tidak didiami,”

Demikian kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang tiba di Kemensah Height bagi meninjau keadaan tanah runtuh di sini hari ini.

Beliau memaklumkan, susulan kejadian kesemua mangsa diarahkan berpindah ke dua buah pusat penempatan sementara dekat AU2 dan AU5 Lembah Keramat, Kuala Lumpur sebagai langkah keselamatan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa dilaporkan enggan berbuat demikian kerana bimbang dengan keadaan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi dan bimbang berlaku pelanggaran prosedur opeasi standard (SOP).

Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam pada itu, Amirudin turut memberitahu ketika ini perhatian adalah ditumpukan kepada keselamatan mangsa serta kerja-kerja pembaikian.

Menurutnya, walaupun kejadian itu berlaku dalam tanah persendirian, namun itu tidak menghalang kerajaan negeri untuk mengaktifkan unit bencana daerah bagi membantu mangsa.

“Walaupun unit persendirian, tetapi ini bencana. Maknanya kita boleh aktifkan unit bencana daerah untuk melaksanakan siasatan yang diperlukan. Tetapi, nanti proses pemulihan sudah pasti turut melibatkan kepada pemilik lot ataupun pemilik premis masing-masing.

“Sudah tentu, MPAJ akan semak semua dokumen yang mereka ada, MPAJ akan membuat kajian juga ataupun laporan nanti pada Rabu nanti dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTENS) supaya kita boleh buat analisis,” tambahnya.

Sebelum itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan beliau menghubungi Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz untuk melihat bagaimana bantuan baik pulih boleh disalurkan.

“Pada ketika ini, laporan yang dibentangkan ada keperluan untuk membina penghadang bagi menghentikan pergerakan tanah yang berlaku sejak semalam dan saya bimbang dengan cuaca ketika ini kita tidak mahu perkara ini berulang dan mengikut laporan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), mereka memerlukan sekurang-kurangnya satu RM1 juta untuk membina shippaw bagi menghentikan pergerakan tanah.

“Kerana bagi kerajaan, keselamatan dan nyawa penduduk itu penting dan perlu kita selamatkan dan lindungi mereka. Bagi penduduk yang tinggal di rumah bandar saya dimaklumkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mereka memerlukan tiga hari untuk mengemukakan laporan teknikal sama ada kediaman ini selamat didiami atau sebaliknya,” ujarnya. – SM

(Visited 327 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button