Politik

Zahid serah kepada jawatankuasa Muafakat Nasional

KEMASUKAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional akan di putuskan oleh Jawatankuasa Muafakat Nasional (MN), berhubung penyertaan Bersatu dalam gabungan UMNO-PAS itu.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyerahkan seluruhnya kepada jawatankuasa tersebut  berhubung penyertaan Bersatu dalam gabungan UMNO-Pas itu.

“Jawatankuasa ini telah mengambil jalan terbaik untuk memurnikan keadaan atas rasa perkongsian politik.

“Mudah-mudahan ini akan memberikan keberhasilan yang optimum, apabila Pilihan Raya Umum diadakan,” katanya selepas melancarkan Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Trolak hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dalam perutusan pada persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian Bersatu 2020, berkata penyertaan Bersatu dalam MN akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, mana-mana  parti politik yang mahu bekerjasama dengan BN mesti ikhlas dan bersedia menterjemahkannya dalam semua bentuk kerjasama politik termasuk pada PRK DUN Slim.

Zahid berkata sebarang perbezaan pendapat atau pegangan politik perlu diketepikan, kerana yang penting adalah kejujuran dan keikhlasan dalam perkongsian politik.

“Namun oleh kerana ini merupakan PRK Slim dan yang lebih penting lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka perkara ketidaksetujuan harus diketepikan, dengan syarat kejujuran dan keikhlasan diterjemahkan dalam semua bentuk kerjasama,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, jentera Pemuda perlu bekerja keras bagi memastikan calon BN Mohd Zaidi Aziz, memenangi kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada PRK DUN Slim.

“Kita mahu 8,000 undi yang diperoleh BN pada PRU14 lalu harus dikekalkan sebagai asas. Kita mahu 4,000 undi diperoleh PAS dan 6,000 undi diperoleh Bersatu, wajib datang kepada kita (BN),” katanya.

PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu bekas guru S. Santharasekaran, 44, serta peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), yang belum didaftar secara rasmi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib daripada BN, pada 15 Julai lepas.

Pada PRU14, Mohd Khusairi memperoleh 8,327 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim yang meraih 6,144 undi dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal (4,103 undi).

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button