Politik

PRK Chini: Bersatu, BN, Pas kongsi pentas

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini menyaksikan buat pertama kalinya pemimpin Bersatu berada di atas pentas ceramah yang sama dengan  Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Kehadiran Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin di pentas ceramah BN ‘Pemimpin bersama Masyarakat’ di Bandar Dara Chini dekat sini.

Ini adalah sejajar dengan pemuafakatan Perikatan Nasional (PN) yang telah dibentuk pada Februari lepas.

Malah kehadiran Ahli Parlimen Larut itu di atas pentas bersebelahan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu memberi isyarat jelas.

Bersatu memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN, Mohd. Sharim Md Zain bagi mewakili kerajaan pimpinan PN.

BACA > Singapura benarkan pengundi kemuka pasport — Suara Merdeka

Ketika berucap, Hamzah mengajak rakyat menghayati jasa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dalam tiga bulan pertama sebagai pemimpin utama negara.

Beliau terbukti mampu untuk menyatukan semua pemimpin daripada dalam kalangan parti kerajaan yang ada pada hari ini.

“Dia telah membuktikan bahawa kepimpinan daripada BN bekerjasama dengan kita (Bersatu) seperti Datuk Seri Ismail Sabri yang mampu untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan kita.

“Begitu juga pemimpin daripada PAS, mereka dapat bekerjasama dengan kita (Bersatu) dan membuktikan bahawa kita mampu untuk memerintah negara ini dengan aman dan sejahtera.

“Tiada lagi masalah yang ditimbulkan tentang isu agama, tidak ada lagi timbul mengenai kuasa Raja-raja.

“Sudah tentu hari ini rakyat akan mempertahankan segala perjuangan yang adil mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

BACA > PRK Chini: Jika menang, kejayaannya pertama buat PN — Suara Merdeka

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan dan Yang Dipertua PAS Pekan Abu Kassim Manaf.

Justeru itu, Hamzah  meminta pengundi di DUN Chini membuat pilihan bijak pada 4 Julai nanti.

“Kita yang akan menentukan nasib anak bangsa, agama dan negara.

“Inilah perjuangan kita dan kita tunjukkan bahawa perjuangan ini untuk masyarakat, bangsa dan negara,” katanya.

PRK DUN Chini 4 Julai ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim Md Zain, 41, dengan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon atas alasan kebimbangan terhadap aspek keselamatan pengundi, susulan penularan wabak COVID-19.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun dari BN yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas.

BACA > Pemilihan Mohd. Shafie sebagai PM masih celaru — Suara Merdeka

PRK ini adalah yang pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa bermula 18 Mac ekoran penularan pandemik COVID-19. – BERNAMA

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button