Banjir: Pendatang pun kita pikul selamatkan, inikan rakyat tempatan – KP Bomba
TAK ada pilih kasih dalam membantu dan menyelamatkan mangsa-mangsa banjir. Jika pendatang asing pun dipikul untuk diselamatkan inikan pula rakyat tempatan.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Bomba Datuk Mohamad Hamdan Wahid.
Beliau mengulas isu yang ditimbulkan dalam media kononnya pasukan penyelamat pilih kasih dalam membantu dan menyelamatkan nyawa telah memberi kesan motiovasi dan moral kepada anggota yang terbabit.
“Saya ingin menyatakan di sini bahawa bantuan mencari dan menyelamat, menyediakan barang keperluan, bantuan memberi makanan dan memindahkan kita buat kepada semua orang.
“Kita tidak ada pilih kasih kerana kita dapat beberapa kenyataan yang boleh menyentuh motivasi dan moral pasukan penyelamat kita yang menyatakan kita memilih-milih orang. Tidak ada.
“Sedangkan pendatang asing pun dekat ladang yang kita selamatkan kita pikul pendatang asing, tak kisahlah Indonesia ke, Bangladesh ke dan sebagainya kita pikul. Sebab kita sedar nyawa mereka juga berharga. Begitu juga rakyat Malaysia apatah lagi,” kata Mohamad Hamdan.
Sebelum ini terdapat media yang melaporkan aduan penduduk kononnya berlaku pilih kasih dalam usaha memberi bantuan serta misi menyelamat.
Sementara itu, menurut Hamdan lagi, banjir yang melanda negara turut menjejaskan beratus-ratus anggota bomba. Namun anggota terbabit tidak bersikap mementingkan diri dengan memperbesar-besarkan kesukaran yang mereka hadapi.
“Dalam kita menyelamatkan orang sejak Jumaat lepas sebenarnya ratusan anggota bomba kehilangan rumah disebabkan oleh banjir dan terjejas peralatan dalam rumah.
“Nanum mereka tidak membuat apa-apa viral, bising dan sebagainya. Ini dia punya etika dalam perkhidmatan. Ertinya keutamaan mereka adalah nyawa orang lain. Sehingga ada yang tidak tahu di mana anak dan keluarga mereka dipindahkan.
“Ini adalah komitmen kami dalam menyelamatkan nyawa mereka yang dalam kesusahan. Ini adalah dalam nilai anggota bomba. Pentingkan diri sendiri tidak ada. Kita letak ketepi, kita bantu orang lain bersama agensi lain menyambung nyawa menyelamatkan orang lain,” kata Mohamad Hamdan.-SM