NasionalParlimenPendidikan

Tiga cadangan untuk kerajaan fokus isu pengangguran, gaji bermaruah

KERAJAAN Perpaduan berkonsepkan Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memberi fokus terhadap isu pengangguran belia dan gaji bermaruah, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau yang tampil dengan tiga cadangan berkata, isu pengangguran belia dan gaji ini merupakan isu yang dekat dengan hati beliau.

“Saya terpanggil untuk mengadakan sidang media ini selepas mendengar jawapan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

GAMBAR tangkap layar Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Beliau berkata, kajian yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini menunjukkan lebih 50% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan anak muda, tidak mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ini kerana masa pengajian yang lama untuk mendapat ijazah, beban hutang dan gaji yang rendah apabila memasuki alam pekerjaan menjadi faktor-faktor menolak untuk anak-anak muda melanjutkan pengajian mereka, katanya.

“80% daripada jurutera baharu juga dibayar di bawah RM2,500.

“Jika dibandingkan dengan lepasan SPM yang tidak menyambung pelajaran mereka dan terlibat dengan ekonomi gig seperti Grab, mereka mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 ke atas tanpa perlu menghabiskan masa selama enam  tahun lagi  belajar di university,” kata Syed Saddiq.

Justeru Syed Saddiq berkata, beliau ingin mencadangkan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasi isu pengangguran belia dan gaji bermaruah ini.

kpm
GAMBAR HIASAN

“Yang pertama, kerajaan perlu menginstitusikan Akta Khas Latihan Amali yang mewajibkan pembayaran latihan amali kepada para pelatih (intern).

“Sebelum ini garis panduan latihan amali di sektor kerajaan telah diinstitusikan melalui pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 2019.

“Saya berpendapat garis panduan ini perlu diperluaskan ke sektor swasta dalam bentuk akta melalui pindaan Akta Kerja ataupun wujudkan akta baharu untuk mewajibkan pembayaran latihan amali,” jelas Syed Saddiq.

Tambahnya,  beliau ada mendengar aduan daripada guru-guru praktikal yang langsung tidak diberikan elaun sepanjang tempoh empat bulan menjalani latihan praktikal di sekolah-sekolah.

“Lebih memeritkan, ada yang terpaksa berpindah apabila mendapat tempat praktikal di negeri-negeri lain,” katanya.

Kata Syed Saddiq lagi, golongan guru-guru yang menjalani latihan praktikal ini bekerja dari pagi hingga ke petang.

Malah ada yang sampai ke malam hari dan terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi membeli peralatan bilik darjah, katanya.

“Cadangan saya yang kedua adalah perlu ada ketelusan kadar gaji melalui pengwajipan pengiklanan tangga gaji dalam iklan pekerjaan,” ujarnya.

Beliau berkata, jika dibandingkan kadar pertumbuhan ekonomi negara dengan kadar pertumbuhan gaji di Malaysia dari tahun 1970 sehingga ke hari ini (2023), kadar pertumbuhan ekonomi negara telah berkembang 27 kali ganda tetapi kadar pertumbuhan gaji hanya naik tujuh kali ganda.

“Ini bermaksud pertumbuhan ekonomi itu tidak dikongsi dan diagih-agihkan dengan baik untuk rakyat kita.

“Ketelusan kadar gaji ini perlu untuk memastikan rundingan antara bakal majikan dan anak-anak muda yang ingin memohon pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih adil dan telus,” tegas Syed Saddiq.

Katanya, di negara-negara maju, majikan diwajibkan untuk berkongsi tangga gaji yang ditawarkan dalam iklan kerja yang ditawarkan.

“Cadangan yang terakhir adalah perlu ada penanda aras gaji atau wage benchmarking. Gaji minimum sahaja tidak mencukupi kerana ia hanya melibatkan pekerja-pekerja di peringkat bawahan.

Wage benchmarking ini bersifat khusus dan dinilai setiap tahun.

“Singapura adalah antara negara yang tidak menggunakan gaji minimum tetapi menggunakan wage benchmarking yang jelas.

Wage benchmarking ini mengambil kira faktor kos sara hidup yang spesifik mengikut lokasi tempat kerja, potensi sektor pekerjaan dan kos hutang yang ditanggung oleh graduan dalam sesuatu sektor untuk menyelaras gaji yang ditawarkan supaya graduan dapat menikmati gaji yang bermaruah dalam sesuatu sector,” jelas beliau secara khusus.

Syed Saddiq berkata, beliau berharap tiga cadangan ini iaitu akta baru untuk mewajibkan pembayaran latihan amali, undang-undang ketelusan kadar gaji dan undang-undang wage benchmarking akan dipertimbangkan dan akan dimasukkan dalam belanjawan yang akan datang.

“Saya harap isu ini tidak hanya diperjuangkan semasa menjadi pembangkang tetapi apabila menjadi kerajaan, kita lupakan idealisme membela gaji bermaruah bagi anak muda,” katanya dalam kenyataan yang sama. – SM

BACA IPT perlu hantar siswa praktikal pada semester akhir

BACA ERP, PSU berjaya turunkan kadar pengangguran 3.7%

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button