Nasional

Ramai Tak Tahu 22 Mac Dijadikan Hari Seniman Negara Kerana Satu Perkara Ini!

Hari Seniman Negara yang diraikan pada 29 Mei diubah kepada 22 Mac sempena memperingati tarikh kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata Keluarga Malaysia perlu diberi kesedaran nilai kesenimanan dalam diri Seniman Agung yang hingga kini tiada galang gantinya.

Annuar berkata, faktor ini bukan sahaja terletak pada karya Allahyarham dalam industri perfileman sebagai pengarah, pelakon, penggubah lagu, penulis lirik, pemuzik dan pelawak yang sangat hebat, malah sebagai pemuisi, yang menjadi khazanah negara yang sangat berharga dan malar segar.

“Bagi memperingati jasa dan sumbangan Seniman Agung sambutan Hari Seniman Negara akan diadakan pada setiap 22 Mac iaitu sempena tarikh kelahiran P Ramlee.

“Signifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara ini adalah untuk memperingati jasa serta sumbangan beliau terhadap industri kreatif negara ini selain mengangkat karya P Ramlee yang bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai tokoh dan pakar industri kreatif, malah, memperkenalkan Malaysia pada mata dunia.

“Cadangan pertukaran tarikh daripada 29 Mei kepada 22 Mac diteliti dan pandangan serta maklum balas daripada pelbagai persatuan dan pertubuhan berkaitan diambil dan seterusnya mendapat kelulusan Memorandum Jemaah Menteri yang diusulkan oleh kementerian,” katanya dalam kenyataan.

Selain mengiktiraf kecemerlangan penggiat industri kreatif yang terbabit dalam bidang seni, Annuar berkata, Hari Seniman Negara disambut bagi meningkatkan kesedaran dan apresiasi masyarakat terhadap peranan seni budaya dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang memiliki jati diri serta menghargai seni budaya negara tanpa mengira bangsa terutama ke arah penyatuan Keluarga Malaysia.

“Sempena Hari Seniman Negara, kementerian berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan pemegang taruh dalam penganjuran majlis pelancaran Hari Seniman Negara, Selasa ini.

“Langkah ini bagi menghargai sumbangan dan peranan penggiat industri kreatif tanah air terutama dalam membangun negara menerusi aktiviti seni, kreatif dan budaya serta usaha kerajaan memartabatkan industri kreatif ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Allahyarham P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 ketika umat Islam meraikan 1 Syawal.

P Ramlee adalah anak kepada kepada pasangan Allahyarham Teuku Nyak Puteh Teuku Karim dan Allahyarham Che Mah Hussein.

Allahyarham P Ramlee berlakon dalam 66 filem dengan 35 judul di bawah arahannya dan mencipta 250 lagu.

(Visited 497 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button