Sukan

POLIMAS Jitra juara Kejohanan Polycc Premier Softball Cup 2022

PASUKAN Softball , Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah muncul juara kategori lelaki dalam Kejohanan Polycc Premier Softball Cup 2022.

Manakala bagi kategori wanita, POLIMAS dinobat tempat ketiga.

Kejohanan ini berlangsung mulai 26-29 Mei 2022 bertempat di Stadium Mini Sofball, POLIMAS, Jitra, Kedah.

Sebanyak 12 pasukan bertanding dalam kejohanan ini.

Tiga pasukan dalam kategori lelaki Majlis Sukan Politeknik (MSP), tiga pasukan kategori wanita MSP, tiga pasukan bagi kategori lelaki terbuka dan tiga pasukan bagi kategori wanita terbuka.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Softball POLIMAS, Saiful Nazli Selamat berkata, beliau bangga dengan pencapaian Pasukan Softball POLIMAS kerana telah menjadi juara bagi kategori lelaki dalam kejohanan ini.

“Ini kali kelima POLIMAS menang sebagai johan bagi kategori lelaki sejak kejohanan ini diadakan,” katanya.

Tambah beliau, kejohanan ini diadakan bagi tujuan pemilihan Pasukan Politeknik Malaysia bagi menyertai Kejohanan Softball Peringkat Kebangsaan 2022 yang akan diadakan mulai 3-6 Jun 2022 di Padang Polo, Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohamad Luthfi Amir, pelajar Jabatan Perdagangan berkata, dia berbangga berpeluang menyertai pasukan ini lebih-lebih lagi apabila menjuarai kejohanan ini.

Manakala Mohd Iskandar Zulkarnain dari Jabatan Perdagangan berkata, “ Ini adalah kali pertama saya menyertai kejohanan ini, dan saya bersama rakan yang lain amat teruja dan berasa gembira dengan kejayaan ini,”.

Pengarah POLIMAS, Kamaludin Daud berkata, “Ini adalah pencapaian terbaik pasukan POLIMAS kerana berjaya menjadi johan bagi kali kelima berturut-turut bagi kategori lelaki,”.

“POLIMAS sebagai Pusat Kecemerlangan Softball bagi atlet Politeknik Malaysia adalah diharapkan dapat menghasilkan pasukan yang mantap untuk mencapai sasaran emas dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 nanti,” katanya.
Katanya, kali ini kejohanan ini akan berlangsung di Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak mulai 12-23 Ogos depan.

Kamaludin juga telah melakukan perasmian penutupan dan penyampaian piala dan pingat kepada pasukan  di Stadium Mini Softball POLIMAS.

Turut hadir dalam majlis tersebut  Penolong Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Mhd Nafizi Nosri; Timbalan Pengarah Akademik, Salmiyah Che Ahmad; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik , Dr Mhd. Azmin Mat Seman dan Ketua Jabatan Sukan, Kurikulum dan Kebudayaan, Jamil Senapi. – SM

(Visited 983 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button