Sukan

Kejohanan Golf Terbuka Malaysia kembali selepas tiga tahun

Kejohanan Golf Terbuka Malaysia kembali semula selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik Covid-19, dengan edisi 2024 disenaraikan semula dalam Jelajah Asia dari
15-18 Februari di Mines Resort and Golf Club, di sini.

Lebih menarik kejohanan bernilai AS$1 juta (RM4.6 juta) bukan setakat pembuka tirai dalam Jelajah Asia tetapi juga menjadi kelayakan untuk Kejohanan Terbuka British (The Open) pada Julai depan.

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Mohd. Anwar Mohd Nor berkata, pihaknya telah membuat permohonan kepada penganjur The Open, Royal & Ancient
(R&A) Golf Club of St Andrews di United Kingdom bagi mendapatkan status kelayakan tersebut.

Menurutnya, MGA masih menunggu pengesahan R&A dan pengumuman mengenai perkara tersebut akan dibuat Pesuruhjaya Jelajah Asia.

“Jika R&A mengesahkan dua atau tiga pemain terbaik layak ke The Open, saya pasti ramai pemain golf terbaik akan tampil bermain di Terbuka Malaysia Februari ini,” katanya dalam sidang media di Mines Resort and Golf Club di sini hari ini.

Kejohanan The Open kali ke-152 dijadualkan dari 18-21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland. The Open ialah kejohanan golf tertua di dunia iaitu dimulakan pada 1860 serta menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$16.5 juta pada edisi 2023.

Mohd. Anwar berkata, kejohanan kali ini mendapat penajaan selama tiga tahun dari 2024 hingga 2026 menerusi sebuah firma pelaburan IRS Prima Holding.

Menurutnya, antara 25 hingga 28 pemain golf Malaysia, termasuk empat pemain amatur berpeluang untuk bertanding dalam Terbuka Malaysia tanpa perlu melalui
pusingan kelayakan.

Beliau berkata, pemain golf nombor satu negara, Gavin Green, pemain kelahiran Melaka, Shahriffuddin Ariffin, Ben Leong dan Ervin Chang layak berdasarkan kedudukan terbaik Order of Merit Jelajah Asia.

“Pemain profesional yang lain dijangka turut layak berdasarkan kedudukan 18 terbaik dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM) (kini dikenali
Toyota Tour),” ujarnya.

Mohd. Anwar menambah pemain profesional dalam Jelajah Asia akan diputuskan berdasarkan kedudukan terbaik dalam Order Of Merit yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Kejohanan Terbuka Malaysia kali terakhir diadakan pada Mac 2020 di Kelab Golf dan Desa Kota Permai, Shah Alam.

Trevor Simsby dari Amerika Syarikat muncul juara selepas memenangi playoff tiga penjuru menentang pemain Australia Andrew Dodt dan Jarin Todd dari Amerika. – SM

 

(Visited 73 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button