Nasional

Zuraida sokong tindakan terhadap Safie Ilias

Berbual lucah dengan kanak-kanak bawah umur bukan sahaja salah dari segi moral tetapi juga salah dari segi undang-undang.

Justeru, Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (COMWEL) Datuk Zuraida Kamarudin mengalu-alukan tindakan undang-undang yang diambil terhadap usahawan kosmetik, Safiey Ilias.

“Tindakan harus diambil ke atas usahawan tersebut kerana tindakannya itu bukan sahaja salah di sisi moral masyarakat bahkan salah di sisi undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Kesalahan Seksual Terhadap KanakKanak 2017 kerana berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah terhadap kanak-kanak,” katanya.

Semalam media melaporkan Safiey Ilias yang merupakan pemilik akaun Instagram (IG) ‘safieyillias94’ sudah ditahan di sekitar daerah Kajang, Selangor.

Safiey yang merupakan golongan mak nyah dan telah melakukan beberapa prosedur untuk mengubah dirinya menjadi seperti wanita termasuk mempunyai ‘payu dara’ telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung video live membuat komunikasi lucah dan amang seksual dengan dua kanak-kanak lelaki di bawah umur.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam pada itu mengingatkan ibu bapa untuk memantau aktiviti harian anak-anak di media sosial agar tidak terjebak dalam perkara yang negatif.

Lebih-lebih lagi, katanya, ketika gajet seperti telefon bimbit menjadi medium perhubungan dan alat komunikasi asas penting buat mereka khususnya ketika pembelajaran dalam talian.

“Saya berharap semua pihak menghentikan penyebaran video tersebut bagi mengelak ketidakselesaan kepada masyarakat awam dan dikhuatiri menyumbang kepada masalah sosial dalam kalangan anak-anak kita.

“Saya juga turut menyeru kepada semua influencer atau pengguna media sosial yang berpengaruh supaya memanfaatkan medium tersebut dengan sebaik mungkin terutamanya ketika Malaysia dan dunia menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video tular di laman Facebook dan Twitter memaparkan tindakan usahawan kosmetik bersama rakannya bersiaran langsung menerusi platform Instagram Live yang turut disertai oleh dua kanak-kanak lelaki dipercayai berusia 14 dan 15 tahun.

Penularan rakaman tersebut menerima kecaman netizen yang menyifatkan tindakan dua individu berkenaan sebagai melampau dan biadap apabila berkelakuan tidak sopan termasuk membincangkan isu seksual bersama kanak-kanak.-SM

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button