Nasional

Perdana Menteri turut bersedih kematian Koperal Safwan

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin turut melahirkan perasaan sedih atas kematian Koperal Safwan Mohammad Ismail ketika kenjalankan tugas mengawal sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan.

Menurut Muhyiddin, pemergian Koperal Safwan merupakan satu kehilangan kepada negara dan pasukan Polis Diraja Malaysia dan berharap kejadian tersebut tidak mematahkan semangat petugas barisan hadapan yang lain.

“Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan pasukan PDRM. Saya harap tragedi ini tidak akan mematahkan semangat anggota PDRM dan frontliners yang lain dalam menjalankan tugas.

“Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata Muhyiddin.

Media hari ini melaporkan Safwan maut selepas sebuah pacuan empat roda disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Susulan rempuhan yang berlaku itu, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai turut terbalik dan menghempap mangsa.

BERNAMA melaporjan dalam kejadian jam 2.11 pagi itu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, berkata hasil siasatan mendapati semasa kejadian pemandu Hilux berusia 44 tahun itu memandu dari arah Kajang menuju ke arah Plaza Tol Kajang Selatan.

“Apabila sampai di sekatan jalan raya, pemandu Hilux gagal mengawal kenderaannya kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga melanggar seorang anggota polis yang sedang bertugas, sebelum melanggar kenderaan anggota yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Zaid berkata, laporan polis telah dibuat oleh penyelia SJR  manakala pemandu Hilux itu yang turut mengalami kecederaan, ditahan polis untuk siasatan lanjut.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jenazah mangsa, yang berasal dari Ipoh, dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Safwan.

Selain itu, jenazah Allahyarham yang kini berada di Hospital Serdang dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Ulu Kinta, Perak untuk dikebumikan.

“Sesungguhnya pemergian Allahyarham Koperal Safwan yang berkhidmat sehingga ke hujung nyawa merupakan satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga IPD Kajang.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada’. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.-SM

(Visited 387 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button