MahkamahNasional

Pasukan pembelaan Muhyiddin yakin tiga lagi tuduhan akan digugurkan

PASUKAN pembelaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin tiga lagi pertuduhan kes terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA), akan digugurkan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini berkata, mereka yakin tuduhan AMLA itu tidak akan kekal kerana bersifat predikat.

Menurut Hisyam, semua barisan pembelaan berbincang mengenai tiga tuduhan itu secara terperinci dalam masa terdekat.

“Kes itu (AMLA) belum selesai namun empat tuduhan utama (rasuah) telah dibatalkan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah hari ini usai mahkamah membenarkan permohonan Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagohuntuk membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa keempat-empat pertuduhan tersebut adalah cacat, tidak berasas dan kabur.

Dalam pada itu, Hisyam menyifatkan keputusan hakim adalah adil kerana pertuduhan rasuah terhadap anak guamnya tidak mengikut undang-undang selain cacat.

Menurut Hisyam lagi, ia suatu penyalahgunaan proses mahkamah malah pihaknya menghujahkan bahawa semua pertuduhan yang dikenakan, tidak menyatakan kesalahan mengikut undang-undang.

“Hakim turut bersetuju dengan hujahan kami yang mengemukakan dua perkara asas iaitu pertama, Bersatu tidak boleh diklasifikasikan sebagai pertubuhan di bawah undang-undang.

“Hujahan kedua ialah, kes rasuah yang dikenakan terhadap anak guam saya, tidak mendedahkan butiran yang diperlukan kami meneruskan pembelaan yang berkesan,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Pada 13 Mac pula, pemimpin politik ini didakwa atas pertuduhan ketujuh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, selaku Presiden Bersatu menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti itu. – SUMBER SINAR HARIAN – SM

BACA Muhyiddin bebas 4 kes salah guna kuasa libat suapan RM232.5 juta

BACA Isham Jalil tidak puas hati Muhyiddin bebas tuduhan rasuah, salah guna kuasa

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button