fbpx
Nasional

Yayasan Bank Rakyat peruntuk RM2 juta bantu 10,000 pelajar sekolah

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) hari ini menyalurkan bantuan persekolahan kepada kira-kira 10,000 pelajar sekolah di 145 lokasi di seluruh negara, dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.

Pengurus Jabatan Program YBR, Mohd. Mukhti Abd Rahman berkata, bantuan awal persekolahan itu termasuk baju, kasut dan beg sekolah bernilai RM150 seorang, untuk para pelajar daripada keluarga berpendapatan B40.

Beliau berkata sumbangan itu diharap dapat membantu mempertingkatkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah, meningkatkan semangat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh dan seterusnya mendapat keputusan cemerlang.

“Bantuan persekolahan ini akan disampaikan kepada penerima secara berperingkat dan kita berharap ia dapat diselesaikan menjelang Februari depan.

“Tujuan bantuan ini adalah untuk meringankan beban kewangan ibu bapa daripada keluarga B40 yang terjejas ekoran penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Tahun 2021 YBR Peringkat Parlimen Masjid Tanah di sini, hari ini.


Pada majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, seramai 500 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar parlimen itu menerima bantuan awal persekolahan berjumlah RM75,000.

YBR turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM61,440 kepada Madrasatul Quran Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, bagi program pendidikan sekolah agama tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mukhti berkata YBR akan meneruskan penganjuran ‘Biz Hall’, bagi membantu usahawan mendapat khidmat nasihat, latihan dan pelbagai fasiliti, di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

“Pada tahun lepas, program Biz Hall mendapat sambutan amat menggalakkan, dengan jumlah penyertaan lebih 300 usahawan dan bakal usahawan, untuk mendapatkan pelbagai maklumat, nasihat atau bantuan kewangan.

“MEDAC mempunyai 15 agensi di bawahnya yang mempunyai pelbagai geran, dana atau pinjaman, untuk membantu golongan usahawan memajukan perniagaan mereka khususnya yang terjejas ekoran penularan Covid-19,” katanya. – BERNAMA

(Visited 105 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button