Nasional

Wujudkan Kementerian Kanak-Kanak cegah pelacuran ‘sugar baby’

KERAJAAN disarankan agar mewujudkan Kementerian Kanak-Kanak yang mempunyai peruntukan khas dan sumber tetap untuk melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa kegiatan pelacuran di atas talian.

Cadangan itu dibuat oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan Penasihat Mahkamah bagi Kanak-kanak Mahkamah Kuala Lumpur Syed Azmi Alhabsyi.

Ia antara 10 cadangan bagi mengenai gejala pelacuran dalam talian ‘sugar baby’ yang menjadi isu hangat ketika ini.

“Kami menyarankan supaya Kerajaan menangani gejala sosial seperti ini dengan lebih berkesan secara mencegah kerana ini lebih baik daripada merawat simptom.

“Kami menggesa supaya 10 langkah ini diambil bersekali dengan sebarang tindakan menyekat aplikasi sosial yang melanggar undang-undang negara,” katanya.


Mereka turut mencadangkan penambahan Pelindung Kanak-Kanak serta Pembantu Pelindung Kanak-Kanak yang terlatih supaya Akta Kanak-Kanak 2001 boleh dikuatkuasakan dengan lebih efektif.

Selain itu, sistem perundangan jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak perlu ditambah baik seperti mewajibkan tahanan reman selama tiga hari kepada suspek bagi mententeramkan mangsa.

Kerajaan juga perlu menyediakan program pemulihan dan kaunseling yang menyeluruh serta mudah dicapai bagi membantu kanak-kanak yang didera atau trauma.

Mereka turut mencadangkan agar keluarga yang terkesan seperti penceraian, mempunyai anak luar nikah dan perkahwinan tidak berdaftar terutamanya bagi keluarga yang tidak mempunyai sokongan kewangan dibantu.

“Terdapat kanak-kanak dan remaja hari ini yang bergelut dengan krisis identiti dan mengalami kesukaran mencari tujuan kehidupan.

“Inilah realiti serta cabaran yang sedang mereka hadapi dan selagi kita menafikan hakikat ini, selagi itulah kita seolah-olah meraba-raba dalam kegelapan. Amalan agama tanpa penghayatan tidak mungkin memberikan hasil yang kita inginkan.

“Mari kita fokus membina semula nilai murni dan budaya moral yang sihat bagi generasi muda dengan membantu mereka dan bukan menghakimi mereka,” katanya.

Lima cadangan lain termasuk memantau pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur supaya 58 program yang melibatkan 61 agensi Kerajaan boleh berjalan dengan lancar dan menepati jangka masa sehingga tahun 2025.

Mengkaji semula pendidikan seks di sekolah dan membuat penambahbaikan seperti melibatkan ibu bapa kerana statistik Kerajaan telah menunjukkan penglibatan kanak-kanak dalam kegiatan ini berlaku seawal 12 tahun.

Memperkasakan kursus perkahwinan dan membantu ibubapa menjadi lebih efektif dalam komunikasi dengan anak-anak;

Menghapuskan sindiket yang berkaitan dan amalan rasuah yang melibatkan pihak berkuasa seperti penjualan methamphetamine dan pemerdagangan kanak-kanak atau wanita.

Jangan memberikan pelbagai alasan untuk pesalah jenayah seksual seperti tabiat menyalahkan mangsa dan pemakaian mereka.-SM

 

 

 

(Visited 100 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button