Nasional

Sembilan pusat pemindahan dibuka di Selangor, Perak

SEBANYAK sembilan pusat pemindahan sementara dibuka untuk menempatkan mangsa banjir di Selangor dan Perak setakat pagi ini.

Di Selangor, lima pusat pemindahan dibuka mulai 3 petang petang semalam di daerah Sepang selepas Sungai Dengkil melimpahi tebingnya berikutan hujan berterusan.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata 255 mangsa membabitkan 67 keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Dato Ahmad Razali dan Taman Gemilang serta Dewan Majlis Pengurusan Komuniti (MPKK) Jenderam Hilir.

Beliau berkata jumlah mangsa di dua lagi pusat pemindahan iaitu Balai Raya Dengkil dan Sekolah Menengah (SMK) Dengkil masih dikemas kini oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Antara kawasan yang terjejas banjir ialah Kampung Sungai Buah, Jenderam Hilir, Kampung Orang Asli Batu 28 Jenderam Hilir, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Chemperai.

Di Perak, jumlah mangsa banjir menurun kepada 220 orang daripada 64 keluarga berbanding 272 orang daripada 75 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan berkata kesemua mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan di Hilir Perak dan Kerian.

Di Hilir Perak, 53 orang ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Serbaguna Padang Tembak, dan 13 orang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, manakala di Kerian, 97 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang berteduh di pusat pemindahan SK Alor.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras berbahaya iaitu 3.96 meter manakala Sungai Kinta di empangan Tanjung Tualang dan Sungai Kerian di Selama masing-masing mencecah paras amaran 13.06 meter dan 11.85 meter. -SM

Baca : Kerajaan pantau rang undang-undang AS berhubung sekatan terhadap penyokong asing Hamas

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button