Nasional

PKPD Selangor, KL: Hanya kilang makanan, keperluan asas dibenar beroperasi

HANYA kilang mengeluarkan bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih , gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi di Selangor dan Kuala Lumpur sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran untuk bekerja hanya dibenarkan bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi Kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

Katanya, pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari Selangor dan Kuala Lumpur dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD.

“Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah.

“Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis-premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat MITI yang telah dikeluarkan sebelum ini,” kata Ismail Sabri.


Beliau hari ini mengumumkan Selangor dan Kuala Lumpur dikenakan PKPD selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai.

Katanya, lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa. Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam seperti keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing dibenarkan beroperasi  dengan kapasiti 50 peratus.

Restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk dibenarkan beroperasi antara pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Pembelian makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran (delivery) sahaja dibenarkan.

Hospital, klinik dan makmal perubatatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.

Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi antara 8.00 pagi hingga 8.00 malam.

Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 8.00 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam. Pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12.00 pagi hingga 6.00 pagi.

Pasar awam, Pasar Tani Kekal dan MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan beroperasi bermula 6.00 pagi hingga 2.00 petang. Sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan.-SM

 

 

(Visited 196 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button