Nasional

UPSI sahut inisiatif kerjasama penyelidikan dengan The World Bank Group

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dipilih sebagai universiti pertama untuk berkolaborasi dengan The World Bank Group dalam melaksanakan penyelidikan berkaitan asuhan dan didikan kanak-kanak dalam konteks pembangunan inklusif dan kelestarian kewangan di Malaysia.

Justeru, UPSI diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff mendatangani surat niat kerjasama bersama Pengurus The World Bank Group, Dr. Yasuhiko Matsuda, di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff (lima dari kiri) bertukar dokumen dengan Dr. Yasuhiko Matsuda, di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur.

Md Amin berkata inisiatif yang diambil kedua-dua pihak bertujuan membantu dalam memberi pemahaman kepada komuniti dan negara berkaitan isu serta cabaran asuhan dan didikan kanak-kanak di Malaysia.

“UPSI akan membantu The World Bank melengkapkan laporan mengenai kanak-kanak dan pusat asuhan di samping penyelidikan kuantitatif tentang penentuan akses awal pendidikan kanak-kanak untuk isi rumah berpendapatan rendah berdasarkan data daripada Pusat Data Kanak-kanak Kebangsaan (NCDC) yang dibangunkan oleh NCDRC, “ katanya.

Sehingga kini, katanya, NCDC berjaya merekodkan 74,292 kanak-kanak, 21,626 pendidik dan 4,731 pusat asuhan di Malaysia.

Menurut beliau data yang direkodkan mampu membantu pihak berkepentingan dalam memberi manfaat bukan sahaja kepada aspek asuhan dan perkembangan kanak-kanak, malah melonjakkan ekosistem pendidikan awal usia di Malaysia.

Berdasarkan keperluan untuk memperkasakan Pendidikan Awal Kanak-kanak di peringkat antarabangsa, katanya, kerjasama dengan World Bank Group bakal mewujudkan kepakaran dua hala bagi memberi manfaat melalui perolehan data yang komprehensif dalam bidang berkenaan.

“NDCRC yang berperanan sebagai pusat penyelidikan, pembangunan pengajaran dan pengeluaran produk kanak-kanak, menjadi pilihan yang tepat bagi World Bank Group dalam mendapatkan maklumat berkaitan gambaran melalui data berkaitan Perkembangan Kanak-kanak, Pusat Asuhan Kanak-Kanak, Pengasuh dan Pengusaha Taska di Malaysia.

“Diharapkan dengan kerjasama melalui penyelidikan ini bakal memberi manfaat kepada UPSI untuk merealisasikan misi NCDRC menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang pertama dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak pertama di Malaysia selain meningkatkan lagi penarafan UPSI di persada antarabangsa,” katanya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar; Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, para penyelidik NCDRC serta pakar ekonomi dari World Bank bagi menyaksikan majlis merealisasikan kerjasama bersejarah itu.

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button