Politik

Wira Putra mahu gaji Menteri, Timbalan dipotong dua pertiga

KEDUDUKAN anggota kabinet termasuk pemegang jawatan bertaraf menteri terus dipersoal ketika negara sedang menjalani Perintah Darurat bermula 11 Januari lalu.

Ini kerana, Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa (Putra) mendakwa terdapat beberapa kementerian dilihat tidak berfungsi ketika darurat sedang berkuatkuasa.

Malah, Proklamasi Darurat ini juga dikatakan tidak ada kena mengena untuk mengekalkan jumlah anggota kabinet sehingga 70 orang.

Selain itu, jawatankuasa khas bebas yang dimaklum sebelum ini akan ditubuhkan pun masih lagi belum terlaksana sedangkan tiga hari sudah berlalu sejak hari pertama Perintah Darurat diperkenan.

“Wira PUTRA mencadangkan, sewajarnya jumlah menteri kabinet dikurangkan kepada kementerian perlu dan berfungsi penuh sahaja.


“Ini setidaknya mampu memberi fokus dan sekurang-kurangnya gaji menteri yang tidak berkenaan hingga mencecah puluhan ribu seorang untuk setiap bulan dapat dipindah dan disalurkan kepada perkara-perkara lain yang lebih utama.

“Yang paling utama adalah imbuhan kepada para frontliner badan kesihatan dan keselamatan yang bertugas tidak kira panas terik, hujan ribut, masa bersama keluarga yang tergadai serta keselamatan serta kesihatan diri yang sentiasa terdedah kepada wabak.”

Kata ketua pergerakannya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mendakwa antara portfolio yang dipegang oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Abdul Awang iaitu Duta ke Timur Tengah yang bertaraf menteri juga seperti tidak berfungsi.

Katanya, sejak dilantik, tiada pelaburan penting yang masuk ke negara ini dari negara-negara di Timur Tengah, tambahan pula keadaan pandemik Koronavirus (Covid-19) ini juga mengekang tujuan itu.

“Sudah hampir sembilan bulan berlalu satu sen habuk pun tiada pelabur dari Timur Tengah masuk.

“Ini pembaziran nyata duit rakyat yang mengenyangkan temolok orang tertentu hingga lupa nilai asas menjadi pemimpin yang berkhidmat demi rakyat.

“Namun jika ia difikirkan perlu atas hemat Yang di-Pertuan Agong, Wira Putra mencadangkan sekurang-kurang dua pertiga gaji mereka dipotong,” gesanya.

Menyentoh soal gaji juga, Nasrul Ali Hasan mempersoal tindakan penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika tempoh penguatkuasaan darurat.

Menurutnya, sekiranya darurat adalah bertujuan memberi fokus kepada penyelesaian krisis kesihatan, maka Parlimen dan DUN tidak sepatutnya digantung.

Beliau berkata, tidak relevan Parlimen dan DUN digantung dan jemaah menteri berfungsi seperti biasa dengan gaji semasa.

“Begitu juga mahkamah dibenarkan menjalankan fungsi setiap hari, sedangkan parlimen bukannya perlu bersidang hari-hari tetapi tidak dibenarkan.

“Oleh itu, darurat kesihatan ini tiada apa kena mengena atau tiada keperluan dengan mengekalkan terlalu banyak menteri dan timbalan menteri iaitu sehingga 70 orang,” tegasnya. – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button