Politik

Agenda pemerkasaan parti dan komuniti jadi keutamaan

NAIB Presiden MIC Datuk T. Murugiah menegaskan, agenda pemerkasaan dan keutamaan parti menjadi keutamaan.

Ini sejajar dengan proses pemilihan kepimpinan MIC peringkat kebangsaan dan negeri yang  berjalan lancar pada hujung minggu lepas.

Menurut Murugiah, parti berusia 75 tahun itu perlu memastikan agenda pemerkasaan parti merangkumi komuniti India secara efektif.

“Perwakilan peringkat akar umbi dari seluruh negara telah menunaikan tanggungjawab mereka dengan memilih barisan kepimpinan parti bagi tiga tahun ini.

“Barisan yang akan mendukung aspirasi dan agenda Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran demi pembangunan serta transformasi masyarakat India di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyifatkan pemilihan kali ini berlangsung dengan penuh semangat persaudaraan, Murugiah berkata, pemilihan gandingan muka baharu dan lama di semua peringkat mencerminkan kematangan.

Beliau berkata, itu adalah harapan akar umbi dalam memastikan kepimpinan parti terus kukuh dan cekal dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, sama ada dari segi politik mahupun impak sosio ekonomi yang tercetus akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, dalam pemilihan barisan kepimpinan tertinggi MIC bagi penggal 2021-2024, Datuk T. Mohan dan Datuk T. Murugiah berjaya mengekalkan jawatan sebagai Naib Presiden.

Masing-masing memperoleh 11,586 dan 9,139 undi manakala Datuk M. Asojan sebagai Naib Presiden baharu dengan 8,703 undi.

Sebanyak 21 ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti turut dipilih dari kalangan 44 calon yang bertanding.

Terdahulu, Tan Sri SA Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M. Saravanan mempertahankan jawatan mereka tanpa dicabar.

Mengulas mengenai pemilihannya sebagai Naib Presiden dengan undi kedua tertinggi berbanding dengan kedudukan ketiga pada tahun 2018, Murugiah berkata, hasrat dan kesediaan untuk berkhidmat adalah lebih penting dari bilangan undi yang diperolehi.

“Saya amat menghargai mandat yang diberikan  akar umbi kali ini yang lebih signifikan.

“Sebagai seorang bekas tentera, saya sentiasa berpegang kepada prinsip, sesuatu peperangan itu hanya boleh dimenangi jika barisan tentera setia dan taat kepada panglima mereka, komited melaksanakan strategi perang yang dilakar bersama.

“Kesetiaan saya tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Tan Sri SA Vigneswaran dan saya yakin dengan kewibawaan beliau di dalam menjulang perjuangan parti MIC.

“Saya menyeru seluruh barisan kepimpinan dan ahli MIC teguh bersama Presiden dalam merealisasikan segala agenda dan visi kita,” ujar Murugiah dalam kenyataan yang sama. – SM

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button