Politik

Wilayah bebas berniaga akan wujudkan masalah trafik, pergaduhan

WILAYAH Bebas Berniaga bukan sahaja akan mewujudkan masalah trafik tetapi ia juga akan mewujudkan pergaduhan di antara penduduk dan penjaja.

Ahli Parlimen Seputeh yang hairan dengan kritikan yang dilemparkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin terhadap isu itu berkata, Wilayah Bebas Berniaga juga akan akan menjadikan bandaraya Kuala Lumpur kucar-kacir.

“Sebenarnya, isu penjaja tanpa lesen dan penjaja yang berniaga di tempat yang tidak sesuai memang masalah yang sangat susah ditangani oleh DBKL dan para Ahli Parlimen di Kuala Lumpur selama ini.

“Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan akan menjadikan masalah ini lebih rumit dan mewujudkan lebih pergaduhan dan masalah selepas ini,” kata Teresa.

Zuraida sebelum ini menyifatkan tindakan Ahli Parlimen DAP itu mempersoalkan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga di ibu negara, Putrajaya dan Labuan sebagai tidak prihatin terhadap nasib peniaga kecil yang terjejas teruk ketika ini.


Zuraida berkata, kesukaran hidup peniaga kecil dan penjaja tidak sepatutnya dipersendakan kerana ia membabitkan mata pencarian mereka.

Katanya, daripada terus menentang dengan kenyataan tidak berasas Teresa Kok dan Ahli Parlimen lain sepatutnya menyokong inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat dalam keadaan negara masih dilanda pandemik.

Sementara itu Teresa berkata, kenyataan Zuraida menunjukkan beliau sebagai menteri yang menjaga kerajaan tempatan tidak sedar tentang masalah penjaja tanpa lesen yang melanggari undang-undang yang berlaku di banyak tempat di Kuala Lumpur.

“Kenyataan beliau juga menunjukkan beliau tidak layak memegang jawatan menteri yang menjaga kerajaan tempatan kerana beliau menggalakkan kesahihan (lawlessness) di ibu negara Malaysia.

“Sebagai Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, saya amat prihatin terhadap nasib peniaga kecil dan masalah pengangguran di kalangan warga kota di Kuala Lumpur. Saya juga setuju kerajaan tempatan seperti DBKL haruslah menghulurkan bantuan kepada golongan B40 ini,” katanya.

Justeru menurut beliau, Zuraida dan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa boleh membantu golongan miskin tersebut dengan mewujudkan lebih banyak pusat penjaja, pasar pagi atau pasar malam di tempat yang sesuai.

Mereka tidak seharusnya menggalakkan orang ramai mencabuli peraturan kerajaan tempatan dengan membuka gerai dan bebas berniaga di mana-mana tempat di Kuala Lumpur.

“Saya menyeru Menteri Zuraida Kamaruddin dan Annuar Musa membuat kenyataan dan menjalankan tugas mereka sebagai Menteri secara professional dan mengikut peraturan dan undang-undang.

“Selain itu, mereka sepatutnya mengadakan rundingan dan bekerjasama dengan wakil rakyat khususnya di bandaraya Kuala Lumpur untuk mencari jalan membantu golongan B40, dan bukan memutar-pelitkan kenyataan bernas yang dikeluarkan oleh wakil rakyat seperti saya,” kata Teresa.

‘Wilayah Bebas Berniaga’ diperkenalkan oleh Annuar selama enam bulan bermula 15 November lalu.

Inisiatif itu dibuat bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berniaga bagi meringankan beban susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain dibuka hanya kepada warganegara Malaysia mereka yang mahu menyertainya perlu mendapatkan lesen. -SM

 

 

(Visited 72 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button