Politik

Zahid Hamidi: Dari Budak Kampung Ke Putrajaya…

Oleh Naser Sheikh Ali

DI awal kerjaya politiknya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan seorang Senator dan Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) sebelum menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia sejak 1996.

Pada 1998, Ahmad Zahid bersuara lantang terhadap Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menyeru untuk menamatkan kronisme, korupsi dan nepotisme di dalam kerajaan Malaysia. Ahmad  Zahid dilihat sebagai sekutu kepada Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang kemudiannya telah ditahan dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 21 September 1998. Jawatan beliau selaku Ketua Pemuda UMNO pada masa itu telah dipangku oleh Datuk Hishamudin Tun Hussien.

Selepas Pilihan raya 2004, Zahid menjadi Timbalan Menteri di bawah kerajaan Abdullah Ahmad Badawi. Semasa menjadi Timbalan Menteri, Zahid meneruskan pengajian nya dan dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Putra Malaysia.

Selepas Pilihan Raya Umum pada tahun 2008, Ahmad Zahid menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama). Beliau telah dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada April 2009. Ahmad  Zahid dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada 2013 menggantikan Hishamuddin Hussein. Pada 29 Julai 2015, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan kabinet menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai, Bagan Datuk, Perak, seterusnya menyambung pelajarannya di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor sehinggalah ke Universiti Malaya dalam bidang Sastera; mengambil kursus Certificate in Banking dan Diploma in Marketing Communication dan seterusnya melanjutkan pengajian ke jurusan Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Putra Malaysia semasa cuti rehat selepas ditahan di bawah ISA 1998.

Kerjaya

Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai bank dan pernah berkhidmat di beberapa bank seperti Bank OCBC, Pengerusi Bank Simpanan Nasional (1995–1998), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pengurus Pemasaran di Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Pengarah Eksekutif di Scandinavian Motors Sdn. Bhd., Ketua Pegawai Eksekutif di Kretam Holding Berhad, Pengerusi Tekala Corporation Berhad, Pengerusi Seng Hup Berhad dan Pengerusi Ramatex Berhad. Dan akhirnya pada tahun 1999 Ahmad Zahid menjadi Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Setia Kepada Perjuangan

Sesungguhnya kerjaya politik Ahmad Zahid amat berliku. Ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, beliau telah “dipaksa” untuk melepaskannya gara-gara ditahan dan dipenjarakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika menjawat jawatan sebagai Naib Presiden UMNO yang terkanan, beliau terpaksa mengambil alih jawatan Timbalan Perdana Menteri selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin terpecat daripada Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang sudah pastinya mengundang pelbagai reaksi negatif khususnya, seolah-olah beliau dilihat sebagai “orang kanan” Datuk Seri Najib Tun Razak yang terfitnah dengan isu 1MDB.

Sekali lagi, apabila kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 pada 9 Mei 2018, Ahmad Zahid  yang berjawatan sebagai Naib Presiden parti terpaksa memangku jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN selepas Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan kesemua jawatan dalam parti secara serta merta.

Politik Masa Depan

Berdasarkan latar belakang dan sejarah penglibatan serta pengalaman Ahmad Zahid, tidak mustahil beliau mampu untuk memperbaiki prestasi UMNO dan BN dalam menempuh cabaran serta liku yang bakal mendatang.

Beliaulah satu-satu nya Presiden UMNO yang tidak menjadi Perdana Menteri Malaysia (setakat ini) dan UMNO/BN tidak ada kuasa pemerintahan di peringkat federal (persekutuan).

Beliau jugalah orang nombor satu dalam UMNO yang telah mengarahkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan di dalam pemilihan parti sejak ia “disekat” dari tahun 1987 (era Tun Dr. Mahathir)

Beliau jugalah sebagai Presiden UMNO (selepas Allahyarham Tun ABdul Razak) yang telah berjaya merintis untuk menyatukan di antara kelompok besar parti orang Melayu, UMNO dan Pas sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional.

Beliau jugalah sebagai seorang Presiden UMNO yang telah diberi “tekanan” untuk bercuti daripada jawatan parti atas alasan tidak mampu untuk “mengawal” ahli-ahli Parlimen UMNO daripada melompat keluar parti. Ternyata percutian selama enam bulan yang dilakukan oleh Ahmad Zahid atas dasar cintanya kepada keutuhan parti, jelas membuktikan alasan-alasan melompat keluar itu sengaja diada-adakan kerana takut kepada ugutan pendakwaan terpilih atau politik.

Beliau jugalah satu-satunya Presiden UMNO yang apabila UMNO/BN kehilangan kuasa di peringkat persekutuan tetapi di dalam masa hanya sekitar 22 bulan sahaja, telah berjaya menguruskan keadaan (crisis management) dan berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat federal semula dan mendapatkan kembali kuasa di tiga buah negeri.

Itulah Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Walau berliku-liku perjalanan ditempuhinya, walau keras tekanan terhadapnya, beliau seumpama seekor burung helang yang terbang gagah untuk terus mengembangkan sayapnya untuk terus menuju ke destinasi maruah perjuangan anak bangsanya, untuk mempertahankan kepentingan Agama Islam sebagai agama Persekutuan, Institusi Beraja, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Di antara akujanji Ahmad Zahid semasa mempertaruhkan diri untuk bertanding jawatan sebagai Presiden UMNO, beliau telah berjaya mewujudkan MAJLIS PENASIHAT UMNO yang dianggotai oleh ilmuan, profesional, agamawan, pakar pelbagai bidang dan wakil generasi muda. Majlis ini berperanan memberikan pandangan atau nasihat kepada pemimpin tertinggi terutama Presiden dalam sesuatu isu semasa.

Mewujudkan PANGKALAN DATA UMNO sebagai pusat maklumat UMNO di setiap Bahagian bagi merakyatkan UMNO.

Mewujudkan AKADEMI PERKADERAN UMNO berfungsi untuk memastikan kelangsungan pengkaderan dalam parti untuk UMNO BANGKIT. Justeru program perkaderan untuk jati diri diutamakan terutama pewaris parti yang setia melalui kewujudan Akademi Perkaderan UMNO.

Mewujudkan UNIT TINDAKAN KHAS MENANGANI POLITIK WANG dengan melantik individu yang mempunyai integriti dan berlatar belakang undang-undang, berkaliber dan bersih, di samping mengsifarkan budaya warlords menerusi pendekatan bersepadu dan berkesan.

Mewujudkan MAJLIS MEDIA UMNO yang menggabungkan media konvensional, media sosial, bloggers, cybertrooper dan portal berita di peringkat pusat dalam mewujudkan elemen berita, tularan berita, video grafik dan infografik yang senada dan efektif.

Menerap dan melaksanakan dasar KETERBUKAAN UMNO dengan UMNO dibuka ruangnya lebih meluas untuk generasi muda, profesional, ilmuan, agamawan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk dilibatkan secara aktif. Mengamalkan pendekatan kepakaran Ahlul Halli Wal Aqdi.

Secara ringkasnya, daripada 15 akujanji Dr. Ahmad Zahid Hamidi, semuanya telah dan sedang dilaksanakan melainkan satu sahaja iaitu berkenaan menetapkan TEMPOH PRESIDEN DUA PENGGAL. Jawatan Presiden parti tidak boleh dipegang oleh seseorang lebih darpada dua penggal secara berturut-turut bagi memelihara budaya meritokrasi dalam menggalas tanggungjawab peralihan kepimpinan yang sistematik dan beradab. Selain daripada beliau sekarang ini yang masih menjadi Presiden baru mencapai dua tahun untuk penggal pertama, cadangan tersebut juga telah ditolak oleh MKT dan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan parti. – SM

(Visited 2,453 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button