fbpx
Politik

ADUN DAP ramal UMNO akan khianati Muhyiddin, Bersatu

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali meramalkan UMNO akan mengkhianati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan parti yang diterajuinya, Bersatu.

Menurut Sheikh Omar, perang mulut antara Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dari Bersatu dan UMNO menunjukkan isyarat tidak wujud sama sekali kerjasama antara parti-parti yang mendukung kerajaan PN.

Sheikh Omar mendakwa, bagi UMNO, kewujudan Perikatan Nasional adalah satu bentuk senjata untuk UMNO merampas kuasa daripada Bersatu.

“Presiden dan mantan presiden UMNO sendiri secara terang-terangan membalas kenyataan Ahli Parlimen Mersing dari Bersatu itu dengan mengisytiharkan untuk mengambil kembali kerusi Parlimen Mersing.

“(Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Najib Tun Razak bukan sahaja memperbudak-budakkan orang-orang dan menteri Bersatu malah ia merupakan tamparan kepada Tan Sri Muhyiddin apabila kesilapan menterinya itu telah menjejaskan peluang Bersatu untuk mempertahankan kerusi parlimen Mersing,” kata Sheikh Omar.


Menurut Syeikh Omar, perang mulut antara Abdul Latif dan pemimpin UMNO merupakan bibit awal UMNO menelan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum-15 yang akan datang.

Sheikh Omar berkata, keadaan tersebut akan menjadikan Muhyiddin tidak mempunyai pilihan lain sama ada kembali menyertai UMNO dan berkuburnya Bersatu atau kekal sebagai PM minoriti yang menunggu nasib dibaham oleh UMNO pada bila-bila masa.

“Hakikat yang dapat kita pelajari dari episod pengkhianatan politik ini cukup jelas. Sejarah juga telah membuktikan; setiap perbuatan khianat akan pastinya berakhir dengan siri-siri pengkhianatan seterusnya.

“Pengkhianat tidak akan pernah mendapat kepercayaan oleh rakan pengkhianat yang lain. Kumpulan ini akan hidup dalam paranoid setiap masa. Sedikit demi sedikit, mereka pasti akan ditelan oleh dosa-dosa politik mereka sendiri,” kata Sheikh Omar.

Jelas beliau, Pakatan Harapan boleh menjadi contoh tauladan yang baik kepada rakyat bagaimana mereka kekal bersatu dan istiqamah tak kira sewaktu susah mahupun senang.

“Biar kita susah asal tidak mengkhianati rakyat dan parti,” kata Sheikh Omar.

Abdul Latif sebelum ini dalam satu keratan video yang tular di media sosial berkata UMNO Sabah sudah tidak lagi laku. Susulan itu ramai pemimpin UMNO yang mengkritik beliau.

Ahli Parlimen Mersing itu bagaimanapun telah memohon maaf atas kekhilafannya. Beliau berkata, kenyataannya telah disalah tafsir dan mungkin mengecilkan hati sesetengah pihak.

“Kenyataan itu adalah kenyataan peribadi bukan mewakili parti. Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf sekiranya kenyataan Saya itu menyinggung perasaan sesetengah pihak,” katanya.

Menurut Abd Latiff, selaku ahli parti Bersatu beliau  mendukung penuh hasrat Perikatan Nasional.

“Musuh sebenar adalah pihak lawan, jangan biarkan kita bercakaran. Saya sekali lagi memohon maaf atas kekhilafan saya” katanya.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button