fbpx
Nasional

Walau PM tegur, Dong Zong tetap teruskan persidangan

KUALA LUMPUR – Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina MalaysiaDong Zong)  akan tetap meneruskan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember depan.

Menurut Pengerusi Dong Zong Tan Tai Kim, persidangan itu merupakan program aman yang bertujuan menyampaikan permintaan damai pertubuhan Cina mengenai kemajmukan.

“Tindakan susulan akan ditentukan oleh persidangan,” katanya secara ringkas kepada Sinchew Daily.

Hari ini Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi pandangan bahawa persidangan yang didakwa diadakan untuk membantah pelaksanaan pengajaran di sekolah vernakular akan mendatangkan reaksi balas daripada masyarakat Melayu.

Menurut Dr. Mahathir, Malaysia boleh menjadi huru-hara sekiranya Dong Zong meneruskan penganjuran perhimpunan membantah pengenalan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Dr. Mahathir berkata, di negara lain, rakyat akan turun ke jalanan, bergaduh sesama sendiri dan sebagainya kerana tuntutan-tuntutan seperti itu.

“Jika kamu mahu Malaysia jadi seperti itu, teruskan,” kata Dr. Mahathir kepada pemberita ketika ditemui di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 hari ini.

Pertubuhan itu sebelum ini tidak bersetuju dengan pelajaran pengenalan kepada tulisan Jawi kerana ia bertentangan dengan keputusan Kabinet dan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

KPM pada asalnya bercadang memperkenalkan pembelajaran tulisan jawi sebanyak enam muka surat dalam buku teks Bahasa Malaysia tahun empat.

Namun setelah mendapat bantahan daripada pertubuhan berkenaan, ia dikurangkan menjadi tiga muka surat dan bakal dilaksana ‘secara pilihan’.

Bagaimanapun, kerana bangkangan terus disuarakan, akhirnya kabinet memutuskan pengajaran tulisan jawi itu tertakluk kepada persetujuan PIBG di sekolah vernakular.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button