Luar Negara

Wajah mangsa perkauman Floyd diabadi pada tembok apartheid Israel

WAJAH lelaki kulit hitam Amerika Syarikat, George Floyd yang mati akibat keganasan polis diabadikan pada tembok apartheid yang dibina oleh Israel untuk memisahkan negara itu dengan Palestin di Tembok Barat.

Wajah Floyd yang memakai skaf kufeyyeh dengan latar belakang bendera Palestin dilukis oleh artis Palestin Walid Ayyoub.

Lukisan itu sebagai simbol solidariti rakyat Palestin yang setiap hari ditekan oleh regim Israel terhadap kematian Floyd yang dikaitkan dengan sikap perkauman melampau di Amerika Syarikat.

Insiden kematian Floyd, 46, mencetuskan tunjuk perasaan selama berhari-hari yang kadang-kadang menjadi ganas di Minneapolis dan bandar lain di Amerika Syarikat (AS) sebagai membantah kekejaman polis terhadap warga Afrika-Amerika.

Setakat ini, beratus-ratus kedai telah dirosakkan dan sebuah balai polis dibakar selepas Floyd mati akibat sesak nafas selepas lehernya ditekan dengan kuat menggunakan lutut oleh anggota polis berkulit putih pada Isnin minggu lepas.

Kejadian tersebut dirakam seorang pejalan kaki dan visual tersebut tersebar di media sosia.

“Perut saya sakit. Leher saya sakit. Tolong, tolong. Saya tidak boleh bernafas,” kata George dalam video iu yang dilihat tercungap. Seketika kemudian, lelaki kulit hitam berusia 46 tahun itu diam, tidak bergerak.

Kejadian itu menimbulkan kemarahan seluruh negara, dan mencetuskan tunjuk perasaan di lebih 140 bandar di AS.

Kematian Floyd pantas dikaitkan dengan isu perkauman malah ada yang berkongsi senarai nama penduduk kulit hitam yang dibunuh sebelum ini. Jika dihitung jumlahnya (termasuk George), angkanya melebihi 300 orang.

Kemarahan rakyat bertambah marak apabila anggota polis yang bertanggungjawab atas kematian Floyd hanya dikenakan hukuman dibuang daripada perkhidmatan.

Sementara tembok apartheid Israel mula dibina pada tahun 2002. Tembok tersebut merupakan simbol penindasan Israel terhadap rakyat Palestin.-SM

(Visited 578 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button