Sukan

V Shem-Wee Kiong tempah slot akhir Terbuka Thailand

Pasangan itu mara ke final buat kali pertama dalam tempoh empat tahun

GOH V SHEM-Tan Wee Kiong berjaya menyekat kemaraan beregu remaja yang sedang meningkat naik Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin daripada terus mencipta kejutan demi kejutan pada separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok, hari ini.
Beregu No. 14 dunia itu mengekalkan persembahan konsisten tanpa melepaskan walau satu set sepanjang kejohanan apabila menang 21-19, 21-10 ke atas gandingan Indonesia tersebut dalam masa 29 minit untuk menempah slot akhir buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Meneruskan cabaran Malaysia setelah menjadi wakil tunggal negara ke saingan akhir, V-Shem-Wee Kiong mempamerkan permainan kemas baik dari segi serangan mahupun pertahanan sehingga memaksa lawan melepaskan mata demi mata.
Ternyata pengalaman yang dimiliki bekas beregu No. 1 dunia tersebut telah mencipta jurang dengan gandingan muda Indonesia yang berusia 19 tahun itu.
Sejak bergelar pemain bebas beberapa tahun lalu, V Shem dan Wee Kiong hanya tampil dalam perlawanan akhir Super Jelajah Dunia sebanyak tiga kali, tetapi aksi terakhir mereka pada final Super 1000 ialah empat tahun lalu di Supersiri Dunia Dubai 2016.
Namun, pencapaian mereka, hari ini, menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Terbuka Thailand membawa makna yang jauh lebih besar.
Sebagai pemain bebas, pandemik Covid-19 yang melanda dunia sehingga turut menjejaskan jelajah badminton, musim lalu telah memberi kesan kepada pendapatan kedua-dua mereka.
“Tahun lalu sangat sukar, kami tiada pendapatan langsung. Kami terpaksa menyara diri sendiri dan juga keluarga, apa yang menjadi persoalan bagaimana kami mahu menguruskannya.
“Kami masih belajar menyesuaikan diri,” kata V Shem yang dipetik kenyataannya menerusi laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Pasangannya, Wee Kiong pula berkata, sebagai pemain bebas, mereka perlu menguruskan sendiri banyak perkara.
“Syukurlah penaja terus memberikan sokongan kepada kami, terutama Yonex dan Top Glove.
“Bukan mudah untuk pemain bebas, bukan hanya kami tetapi juga buat Teo (Ee Yi), Ong (Yew Sin), Chan (Peng Soon) dan Goh (Liu Ying. Sekurang-kurangnya kami belajar sesuatu daripada situasi sekarang.
“Pendekatan kami sekarang berbeza, terutama jika dibandingkan ketika masa kami sebagai anggota skuad kebangsaan.
“Kini kami berdepan masalah berbeza. Sewaktu anda dalam skuad kebangsaan, semuanya telah disediakan untuk anda. Sekarang bukan hanya badminton, kami perlu menguruskan sendiri banyak perkara,” ujar Wee Kiong.
Dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir, V Shem dan Wee Kiong sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kerana hadiah wang tunai bernilai AS$74,000 (RM298,509) atau AS$35,000 (RM141,187) bakal menanti mereka untuk di bawa pulang ke tanah air.
Tampil dalam aksi final Terbuka Thailand meletakkan kembali pasangan veteran itu sebagai tumpuan.
Mengulas mengenai perlawanan akhir, Wee Kiong melahirkan rasa gembiranya dapat berbuat demikian setelah menanti untuk sekian lama.
“Pada ketika ini, kami mahu menikmati permainan kami, itu yang paling penting. Kami akan cuba mengekalkan standard permainan kami selama yang boleh.
“Kami akan mengkaji lawan kami esok dan terus kekal fokus,” jelasnya.
Finalis Sukan Olimpik Rio 2016, V Shem-Wee Kiong bakal turun beraksi menentang pilihan keenam, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan, esok setelah mereka mengetepikan cabaran beregu Korea Selatan yang diletakkan selaku pilihan ketujuh, Choi Sol Gyu-Seo Seung Jae 15-21, 21-14, 21-14. – SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button