Sukan

Kecederaan halangan terbesar Hafizh menjelang perlumbaan pembukaan musim

KECEDERAAN yang masih belum pulih sepenuhnya menjadi halangan terbesar buat pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah bagi menghadapi perlumbaan pembukaan musim di Litar Antarabangsa Losail, Qatar 28 Mac ini.

Pelumba NTS RW Racing GP itu, baru-baru ini, menjalani pembedahan mengeluarkan besi pada tangan kanannya dan dia masih menjalani fisioterapi sebelum berangkat ke Qatar, awal pagi tadi.

Hafizh ketika ditemui pemberita berkata, sukar untuk menjelaskan keadaannya pada ketika ini, selagi dia tidak menguji jentera NTS yang bakal dipacunya bagi musim 2021.

“Kita tak tahu atas motor macam mana, saya terlepas latihan di Jerez, jadi saya terpaksa tahan sedikit proses pemulihan saya dalam masa sebulan.

“Saya hanya sempat menjalani fisioterapi selama dua minggu. Saya buat fisio sebanyak tiga kali seminggu, sekarang saya berasa lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, selain kecederaan tangan yang masih belum pulih sepenuhnya, Hafizh memberitahu, kali ini, dia ditimpa masalah sakit bahagian belakang sehingga memaksanya berjalan menggunakan tongkat.

“Dua hari lalu, saya terasa sakit di bahagian belakang, saya tak pasti ia berkaitan urat atau masalah lain.

“Saya berasa sakit bahagian bawah belakang saya, jadi dua hari lepas saya terpaksa berjalan pakai tongkat. Saya berurut, lepas tu dapat jalan macam biasa, cuma ada rasa sengal-sengal sikit.

“Saya harap di Qatar nanti keadaan makin pulih dan persediaan fizikal makin lama makin baik,” jelas Hafizh yang bakal menjalani ujian rasmi kejuaraan motosikal dunia pada 19 Mac ini di Qatar.

Anak muda berusia 26 tahun itu amat berharap dapat mempamerkan prestasi terbaik untuk dirinya sendiri dan juga peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

Mengulas pula mengenai pasukan baharu yang disertainya musim ini, Hafizh berkata, jentera NTS yang bakal digunakan merupakan pengeluar baharu dan mereka hanya memiliki pengalaman selama tiga tahun.

“Mereka yakin dengan saya untuk membangunkan jentera mereka. Pasukan saya pula mempunyai banyak pengalaman. Saya tak letak sasaran tinggi, apa yang penting kita cuba dapatkan mata.

“Tetapi jika saya dapat kedudukan dalam kelompok lima terbaik, itu adalah bonus untuk kami. Saya dan pasukan memang bersemangat dan akan bekerja keras,” ujarnya.

Tambahnya, menjelang saingan di Grand Prix Qatar, dia ada meminta pasukannya menaik taraf casis dan bahagian tank motosikal.

Kini apa yang diharapkan Hafizh ialah dia mampu memberikan 100 peratus pada sesi ujian rasmi dan perlumbaan pembukaan musim kelak. – SM

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button