Sukan

LTdL: Penganjur gagal tunai janji manis bawa pasukan jelajah dunia

KUALA LUMPUR, 23 Jan — Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn Bhd nampaknya sekali lagi gagal menepati janji manisnya untuk membawa lapan pasukan berstatus Jelajah Dunia sempena sambutan Jubli Perak perlumbaan itu.

Setakat semalam, hanya satu pasukan berstatus Jelajah Dunia, iaitu NTT Pro Cycling, mengesahkan penyertaan untuk LTdL yang dijadualkan bermula 6-15 Feb ini, di mana syarat minimum bagi jelajah itu mengekalkan status sebagai Siri Profesional (ProSeries) Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) adalah tiga pasukan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab yang mengesahkan perkara itu, berkata LTdL 2020 akan diteruskan pada tarikh yang ditetapkan dan pihaknya akan berusaha meyakinkan UCI untuk mengekalkan status itu pada 2021.

Beliau berkata PKBM juga sedang berusaha membantu mendapatkan satu pasukan dari Kazakhstan, Astana Pro Team 2020 dan sebuah lagi pasukan dari Australia bagi memastikan sekurang-kurangnya tiga pasukan Jelajah Dunia menyertai perlumbaan itu.

“Pihak penganjur sudah tahu syarat-syarat yang ditetapkan oleh UCI, saya tidak tahu apa masalah dalaman mereka, saya tidak mahu komen banyak. Sepatutnya selepas tamat LTdL 2019 pada April, mereka sudah boleh mula membuat persiapan awal untuk tahun ini kerana tarikh yang UCI bagi memang sama (Februari).

“Yang berjanji untuk bawa lapan pasukan itu merupakan pengarah teknikal dari Human Voyage. Ikut ketetapan UCI, daripada lapan sekurang-kurangnya tiga pasukan Jelajah Dunia, dan lima daripadanya boleh dibawa dari pasukan Pro Benua.

“Saya yakin untuk tahun ini kita boleh dapatkan pengecualian daripada UCI, tetapi untuk tahun depan, kalau tak mula awal, memang cari penyakit sendiri kerana UCI akan semak balik selepas tiga tahun dan sekiranya tidak menepati, taraf (jelajah) akan diturunkan,” katanya selepas mesyuarat bedah siasat Sukan SEA di sini, hari ini.

Syarikat Human Voyage (M) Sdn Bhd dilantik oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Januari 2019 sebagai pengurus kejohanan LTdL selama tiga tahun dari 2019 sehingga 2021.

Berikutan kelewatan dalam mendapatkan kontrak, syarikat itu telah menunda LTdL 2019 dari Februari ke April tahun lepas, namun masih gagal menarik pasukan penyertaan pasukan Pro Tour.

LTdL 2020 melibatkan lapan peringkat perumbaan, bermula di Kuching dan berakhir di Pulau Langkawi, selain dua perlumbaan tambahan, iaitu Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Feb dan Malaysian International Classic Race di Pulau Langkawi pada 15 Feb.

— BERNAMA

 

(Visited 142 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button