Luar Negara

Virus Wuhan: Singapura sahkan kes pertama

SINGAPURA, 23 Jan — Singapura hari ini mengesahkan satu kes jangkitan novel coronavirus import yang pertama di republik ini.

Dalam makluman terkini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata kes itu membabitkan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun daripada Wuhan yang tiba di Singapura dengan keluarganya pada 20 Jan lepas.

Lelaki itu sedang dirawat di wad isolasi Hospital Umum Singapura (SGH) dan keadaannya stabil.

MOH berkata pihaknya turut diberi notifikasi satu kes disyaki, yang ujian awal bagi novel coronavirus adalah positif.

Kes itu membabitkan wanita warganegara China berumur 53 tahun daripada Wuhan.

“MOH diberi notifikasi tentang kes disyaki ini pada 23 Januari dan sedang menunggu keputusan pengesahan ujian itu, dan keadaan wanita itu stabil,” katanya.

MOH berkata pesakit lelaki itu sebelumnya menginap di Shangri-La’s Rasa Sentosa Resort & Spa di Sentosa dan menyatakan dia hanya berada dalam kawasan hotel itu.

Menurut MOH, pihaknya telah mengenal pasti tujuh individu yang berhubung rapat dengan lelaki itu, yang merupakan rakan seperjalanannya.

Seorang daripada rakan seperjalannya turut dimasukkan ke dalam wad sebagai kes disyaki, lelaki warganegara China berusia 37 tahun daripada Wuhan dan keadaanya stabil.

MOH berkata status kesihatan semua rakan lelaki itu kini dipantau rapi, dan sebagai langkah berjaga-jaga, mereka akan dikuarantin selama 14 hari dari tarikh mereka terdedah kepada pesakit itu.

Sementara itu, dalam temu bual dengan The Straits Times pada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata Singapura lebih bersedia sekarang berbanding semasa wabak SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk) pada 2003.

Menurut laporan itu, Lee berkata Singapura telah membuat persediaan bagi menghadapi wabak viral sejak SARS pada 2003, dengan 238 orang dijangkiti di republik ini, 33 daripadanya maut, dan mengambil masa tiga bulan untuk dibendung.

“Saya berpendapat kita lebih bersedia sekarang. Kita mempunyai Pusat Penyakit Berjangkit di Tan Tock Seng,” kata perdana menteri dan menurutnya selepas berlakunya wabak SARS, Singapura telah menjalankan semakan terperinci terhadap kemudahan dan infrastruktur perubatannya termasuk wad isolasi serta ujian saintifik dan keupayaannya.

— BERNAMA

(Visited 66 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button