MahkamahNasional

UMNO tak bersikap kacang lupakan kulit kes mahkamah Najib

UMNO berikrar akan terus bersama perjuangan Datuk Seri Najib Razak di sebalik keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menolak permohonan bekas perdana menteri itu mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan mahkamah tidak menghalang UMNO untuk terus bersama perjuangan Najib di dalam parti dan kes yang sedang dibicarakan.

Beliau berkata, parti tidak akan bersikap “kacang lupakan kulit” dengan melupakan jasa Najib antaranya menjawab serangan pembangkang di media sosial dan kegigihannya membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan terakhirnya adalah keputusan mahkamah.

“Kita menghormati dan tidak mahu dikatakan menghina mahkamah,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib memasukkan bukti tambahan membabitkan Hakim Nazlan Ghazali menerusi rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Nazlan adalah Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun serta denda RM210 juta pada 28 Julai 2020 lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu semalam selepas mendapati tiada kaitan antara jawatan Nazlan sebelum ini sebagai kaunsel dan setiausaha syarikat kumpulan Maybank yang boleh menyebabkan keputusan yang berat sebelah terhadap Najib.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun yang membacakan penghakiman berkata, mahkamah berpandangan bukti tambahan yang ingin dimasukkan tidak relevan dengan pertuduhan ke atas bekas perdana menteri itu.

Mahkamah Persekutuan turut menolak permohonan untuk menangguhkan prosiding rayuan. – SM

 

(Visited 85 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button