fbpx
Politik

UMNO sudah bangkit, bersedia untuk kembali ke Putrajaya

BERBANDING dengan suasana perhimpunan agung selepas Barisan Nasional kehilangan kerajaan pada pilihan raya lalu, kali ini UMNO sangat berbeza dan boleh dikatakan betul-betul berbeza berbanding perhimpunan agung sebelum-sebelum ini.

Walaupun tidak mendapat liputan meluas daripada media arus perdana, tetapi UMNO sendiri mengambil inisiatif menggunakan media sosial bagi menyebar luas perhimpunan yang berlangsung selama empat hari hingga sabtu ini.

Skuad Sabil yang baru ditubuhkan juga kini menjadi tulang belakang parti dengan dibimbing oleh anggota dari Skuad Sayang dan sayap-sayap pergerakan yang lain.

Jika perhimpunan agung terdahulu Wanita dianggap sebagai tulang belakang, tetapi tanggungjawab berat itu diserahkan kepada Skuad Sabil.

Pasukan sukarelawan beruniform Pemuda Umno, Skuad Sabil akan jadi kekuatan baru dan tulang belakang parti menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Skuad Sabil diberi latihan secukupnya bagi menyemai semangat sukarelawan dan pengorbanan dalam menghayati perjuangan UMNO memartabatkan Islam, bangsa dan negara.

Pemuda UMNO menubuhkan Skuad Sabil diharapkan akan jadi seperti Unit Amal Pas.

Skuad Sabil dibayangkan antaranya berperanan semasa bencana dan musibah, selain membantu kelancaran penganjuran perhimpunan rakyat.

Penyertaannya terbuka kepada belia berumur lebih 18 tahun, cergas mental dan fizikal serta minat aktiviti kesukarelawanan. Skuad Sabil di bawah Pemuda UMNO  kekal sebagai jentera baru parti.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan parti sedang melalui fasa terakhir untuk membuang karat-karat yang tertinggal dengan merujuk kepada para pemimpin parti berkenaan yang melompat ke parti lain.

Justeru itu para pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sangat menghargai kesudian Pas untuk memeterai kerjasama melalui Muafakat Nasional yang telah terbukti berjaya menyatukan seluruh rakyat untuk pada pilihan raya kecil.

Bagaimanapun para pemimpin berkenaan juga akur kemenangan yang dicapai sebanyak empat kali pilihan raya kecil banyak bergantung kepada kelemahan kerajaan Pakatan Harapan itu sendiri.

Oleh itu UMNO tidak boleh terus mengharap bonus itu untuk memperolehi kejayaan, sebaliknya perlu tampil bersedia bagi mengambil-alih kembali Putrajaya dan kebangkitan tersebut perlu memberi keyakinan kepada rakyat keseluruhannya dan bukan hanya orang Melayu.

Rakyat keseluruhannya bukan sahaja mulai celik kembali terhadap jasa-jasa UMNO dan sedar kepincangan yang berlaku di pihak kerajaan hari ini kerana kurangnya kemahuan politik dalam menyelesaikan masalah rakyat, apa lagi untuk menunaikan janji-janji mereka pada pilihan raya lalu.

Dalam sumber yang terbatas ahli parti itu cekal untuk terus bersama bahtera UMNO dan itu adalah petanda yang baik. Walaupun dalam keadaan pelbagai kekangan parti itu tetap mendapat sokongan akar umbi yang padu.

 

Show More

Related Articles

Back to top button