fbpx
Belang Bertempat

UMNO perlu tambat kuda liar, santuni akar umbi

LANGKAH UMNO melantik pemimpin yang kuat melompat ibarat kuda liar adalah tindakan bijak supaya mereka lebih taat dan setia kepada parti yang menaikkan mereka.

Bila diletakkan tanggungjawab yang sewajarnya barulah mereka merasakan amanah yang perlu dipikul terutama 3 juta ahli yang mengharapkan bahtera UMNO berlayar dengan baik.

Keputusan UMNO yang akan bertindak secara satu kumpulan atau en-bloc akan dapat mengelak daripada runding-rundingan di belakang.

Bagaimanapun untuk mengelakkan daripada berlaku sepenuhnya adalah sukar, tetapi setidaknya ia dapat dikurangkan dan dijalankan cara berwibawa serta integriti.

Jika tindakan kuda liar ini tidak dikekang ia akan membunuh UMNO secara perlahan.


Situasi itu akan dipergunakan oleh musuh yang nyata dan musuh di dalam selimut.

Setakat ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menjalankan peranannya dengan baik.

Selain tidak mudah tunduk kepada Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau juga bergerak mengukuhkan UMNO dan merapatkan saf kepemimpinan.

Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) satu tindakan yang tepat, selain pemimpin itu berpengalaman, beliau juga berada di dalam Kabinet.

Hishammuddin selain mengukuhkan BN akan sekali gus menguatkan UMNO kembali dan menghapuskan tanggapan negatif terhadap beliau yang dikaitkan salah seorang pemimpin di sebalik Langkah Sheraton tempoh hari yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Oleh itu UMNO perlu mengenal pasti kuda liar di dalam parti untuk ditambat kerana selain mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, parti itu perlu mempunyai barisan saf kepimpinan yang kuat.

Selain itu UMNO juga perlu sedar tindakan parti serpihan mereka Bersatu yang lemah di peringkat akar umbi sedang berusaha memantapkannya.

Tindakan itu akan menyebabkan sejumlah ahli UMNO berpindah kepada parti serpihan berkenaan.

Pemimpin UMNO perlu berhenti bergaduh sesama sendiri tetapi perlu memberi tumpuan kepada ahli akar umbi yang agak terbiar selama ini selepas parti itu kehilangan kuasa.

Tidak sukar untuk UMNO kembali mendapatkan tempat di hati rakyat marhaen, mereka hanya perlu menunjukkan keprihatinan semasa tempoh pandemik Covid-19 ini.

Para pemimpin UMNO hingga ke akar umbi perlu tampil membantu rakyat yang berada dalam keadaan sukar, seperti menyampaikan bantuan keperluan harian.

Jika wakil rakyat UMNO kembali kepada asasnya iaitu berkhidmat untuk rakyat, tidak ada sebab sokongan tidak kembali kepada mereka.

Pada masa yang sama, di peringkat atasan perlu segera menangani sebarang bentuk hasutan di media sosial. Setiap isu perlu dijawab segera dan tidak boleh dibiarkan berlarutan yang akhirnya menjadi bertambah buruk.

Rakyat majoriti masih berharap kepada para pemimpin UMNO apabila berdepan dengan masalah, tetapi jika peranan itu gagal dilaksanakan mereka akan mencari alternatif lain.

Sebab itulah pada masa ini kita lihat pertubuhan bukan kerajaan lebih agresif membantu masyarakat, walaupun sering terselit niat lain termasuk komersial di belakangnya.

Jadi UMNO tolonglah tambat kuda liar dan kembali berbakti kepada akar umbi.

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button