Belang Bertempat

Setengah juta gay di Malaysia?

BEBERAPA tahun yang lalu ketika saya bertugas membuat liputan di Zurich, Switzerland terdapat perhimpunan sejuta umat gay berlangsung di ibu negara berkenaan.

Tarikh berkenaan juga bersamaan dengan tarikh wukuf di Padang Arafah bagi umat Islam yang menunaikan haji.

Saya memutuskan untuk pulang ke tanah air kerana terasa tidak kena kerana berada di bumi sejuta umat gay berarak dalam keadaan separuh bogel dan berbogel.

Setahun sekali kerajaan Switzerland membenarkan rakyatnya berarak di bandar Zurich dalam keadaan berbogel atau separuh bogel untuk meluahkan perasaan masing-masing.

Switzerland sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya bersikap berkecuali dan agak ortodok itu berubah wajah kerana diserbu oleh mereka yang mengamalkan gaya hidup songsang dari seluruh dunia.

Ketika ini juga pusat-pusat hiburan mengambil kesempatan bagi mempromosikan perniagaan mereka dari minuman keras sampailah perkhidmatan seks. Dari seks normal hinggalah seks songsang.

Perarakan itu berlangsung di sekeliling Tasik Zurich yang pada hari biasa menjadi lokasi orang ramai beriadah.

Selain itu terdapat juga tempat mandi umum di tasik berkenaan dan ramai juga penduduk yang mandi dalam keadaan bogel atau mengenakan pakaian mandi di kemudahan yang disediakan.

Sebenarnya memang menjadi budaya penduduk Switzerland untuk singgah mandi di sungai-sungai selepas bekerja sama ada berbogel atau mengenakan pakaian mandi.

Di sebuah negara yang agak ortodok itu juga agak kelakar kerana di kampung-kampung di mana kebanyakan dihuni oleh warga emas  juga banyak terdapat kedai menjual barangan seks.

Nampaknya Switzerland juga gagal mengekalkan sifat ortodoknya seperti ketika saya mengunjungi negara berkenaan pada tahun 90-an.

Itu kisah di Switzerland yang terletak beribu batu dari negara kita Malaysia. Keterbukaan informasi nampaknya tidak lagi dapat mengawal pengaruh negatif itu daripada merebak ke negara kita.

Saya agak terkejut apabila tanda pagar Pride menjadi trending di Malaysia. Tanda pagar itu adalah bagi mempromosi kehidupan gay di seluruh dunia dan ia disambut semalam.

Sehingga ke pagi ini hampir setengah juta hantaran di media sosial khususnya Twitter yang menggunakan tanda pagar di Malaysia. Lebih mengejutkan terdapat juga tanda pagar “tetapbangga” dengan disertakan bendera pelangi.

Persoalannya apakah ini bermakna negara kita mempunyai jumlah mereka yang mengamalkan hidup songsang begitu besar.

Sebelum ini saya dimaklumkan terdapat kira-kira 100,000 mereka yang mengamalkan hidup songsang itu di negara kita. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dinafikan kerana kita dapat melihat di sekeliling kita rakan dan saudara sendiri mempamerkan kehidupan yang tidak bermoral itu.

Tidak ada agama di dunia ini rasanya yang membenarkan hidup secara songsang tersebut, apatah lagi bagi penganut agama Islam dan Malaysia merupakan negara Islam.

Memanglah jika kita lihat hantaran yang dibuat menggunakan nama yang tidak menunjukkan mereka beragama Islam atau Melayu. Itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana di media sosial banyak hipokrasi berlaku dan identiti disembunyi bagi mengelak daripada diketahui umum yang masih menolak gaya hidup songsang itu.

Saya rasa pihak berkuasa berkaitan agama Islam dan ulama tidak boleh hanya mendiamkan diri atau berpura-pura tidak tahu dengan memejamkan mata dan memekakkan telinga dalam hal ini.

Saya menghidu kegagalan pihak berkuasa agama dalam membimbing masyarakat menjadi penganut agama Islam yang toleransi tetapi tidak sampai menerima sesuatu yang terang-terangan dilarang oleh Islam.

Kita memang gemar berhujah soal yang terang benar dan salah seperti topik “Takutkan Allah atau takutkan Covid-19”. Sedangkan kita tahu virus itu juga makhluk Allah. Pada masa yang sama kita dilarang mencampakkan diri kita ke dalam situasi yang merbahaya tanpa sebab dan musabah yang wajar.

Ketika kita ghairah berhujah mengapa masjid ditutup, kilang dibuka, gerakan songsang gay telah semakin mengukuhkan tapaknya di negara kita.

Kita seolah-olah diperbodohkan dengan isu semasa yang remeh hingga kita tidak sedar orang sekeliling kita telah menganut fahaman yang amat dilarang oleh Islam.

Janganlah hanya “Tepuk dada tanya selera”. Bertindaklah wahai pihak berkuasa. Sangat memalukan untuk menangani seorang lelaki yang menukar jantina dan agama saja kita tidak mampu, apatah lagi setengah juta yang sudah menjadi gay.

(Visited 828 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button