Uncategorized

Ulang, hafal dan hadam – KJ

ULANG, hafal dan hadam prosedur operasi standard (SOP) menjelang pembukaan sempadan negeri tidak lama lagi.

Pesanan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berikutan hanya tinggal 0.9 peratus sahaja lagi untuk mencecah sasaran 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin bagi membolehkan rentas negeri dibenarkan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya meningkatkan penilaian kendiri dengan melaksanakan Ujian, Lapor, Maklum, Kuarantin dan Dapatkan Rawatan (TRIIS) sebelum pulang ke kampung atau pergi melancong.

“0.9% sahaja lagi sehingga sempadan negeri dibuka. SOP sedia ada kekal di restoran, rumah ibadat, tempat awam dan lain-lain.

“Buat ujian kendiri sebelum balik kampung atau melancong. Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (ulang, hafal dan hadam). Sama-sama ke arah #ReopeningSafely,” ciap beliau di Twitter.


Sementara itu beberapa pengikut Menteri Kesihatan itu berkata, kit ujian kendiri masih lagi mahal dan bagi keluarga yang mempunyai anggota ramai akan menyebabkan kos yang tinggi.

“Bagaimana dengan harga minima untuk ‘Covid-19 self test kit’,harap dapat diturun pada kadar kemampuan semua.Dengan pembukaan sempadan negeri,amatlah dihargai sekiranya ia dapat diputuskan segera bagi mengelak kesesakan di pusat kesihatan kerajaan atau swasta untuk ujian RTK/PCR,” kata @Anuaricloud.

“Test kit mahal bagi sesetengah org, saya beli RM16 satu kit sorang guna. Kalau ada family ramai-ramai ada yang tak mampu nak beli. Kalau test kit lebih murah, lagi ramai orang mampu beli dan buat test sendiri,” komen Tupaicaca.

Menerusi perkongsian infografik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV), sebanyak 89.1 peratus atau 21,004,275 populasi dewasa negara ini sudah lengkap vaksinasi manakala 94.6 peratus (24,309,648) menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan aktiviti merentas negeri akan dibenarkan sebaik tahap vaksinasi populasi dewasa negara mencapai 90 peratus.-SM

(Visited 86 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button