fbpx
Jenayah

Tunggang motosikal ala ‘Superman’, lapan lelaki ditahan di Lebuh Raya Duke

LAPAN lelaki ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala ‘Superman’ di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua suspek berumur 16 hingga 22 tahun itu ditahan dalam Op Samseng Jalanan dijalankan selama tiga jam bermula 1 pagi.

“Mereka ini dikesan menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya seperti meniarap di atas motor (Superman), bersaing sesama sendiri, membuat aksi ‘zig zag’ dan kejar-mengejar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat suspek tidak mempunyai lesen memandu yang sah selain ada di antara mereka mengubah suai motosikal dengan menggunakan tayar lebih kecil dari saiz asal.

“Antara kesalahan lain yang dilakukan adalah tidak memakai topi keledar serta motosikal tidak mempunyai lampu depan dan belakang,” katanya.


Dalam pada itu, Zulkefly berkata, sebanyak 282 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Motosikal lebih tiga jam bermula 9 malam di Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, semalam.

“13 motosikal di periksa hasil pemeriksaan oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melakukan pengubahsuaian sehingga boleh mendatang bahaya.

“Seorang penunggang lelaki turut ditahan kerana gagal memberi keterangan motosikal ditunggangnya yang tidak mempunyai rekod dalam sistem JPJ,” ujarnya.

Katanya lagi, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button