fbpx
Nasional

Trump telefon Muhyiddin bincang tentang Covid-19

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump telah menelefon Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang antara lain untuk berbincang tentang isu pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Perdana Menteri yang menerima panggilan daripada Trump  berkata, selain menerima ucapan tahniah bagi kerajaan yang baharu, beliau menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Pada perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, saya dan Presiden Trump berbincang mengenai pandemik COVID-19 serta pendekatan-pendekatan yang telah diambil kedua-dua negara.

“Kami turut menekankan peri pentingnya kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik itu ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global,” kata Muhyiddin menerusi hantaran Facebooknya.

Muhyiddin memberitahu, selain itu mereka membincangkan usaha-usaha termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin COVID-19 kelak.


Perdana Menteri berkata, beliau dan Trump turut menzahirkan kesepakatan antara AS dan Malaysia bagi memastikan kelancaran rantaian bekalan peralatan kritikal dan bekalan lain, terutamanya semasa krisis kesihatan global.

“Selain itu, kami turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 29 Februari lalu. – SM

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button