Nasional

Melaka, Langkawi dan Cameron Highlands diserbu pelancong

Selepas kerajaan membenarkan orang ramai merentas negeri lokasi tumpuan pelancong kembali sesak.

Melaka Hari Ini melaporkan bandar raya Melaka kembali sesak sejak semalam.

Beberapa jalan utama pintu masuk ke negeri ini mulai sesak dengan kenderaan susulan kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan sejak Isnin lalu.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Lebuh Tun Abdul Razak-Ayer Keroh petang tadi mendapati jalan menuju ke bandar Melaka sesak dengan pelbagai jenis kenderaan untuk bercuti ke negeri ini.

Malah, cuti umum sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini juga dilihat menjadi antara penyumbang utama penduduk Selangor memilih Melaka sebagai percutian singkat.


Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dilaporkan berkata, tempahan penginapan minggu ini dilihat memberangsangkan berbanding minggu sebelum ini.

“Kita sudah mula menerima tempahan, contohnya apabila produk baharu iaitu Amanjena Resort di Pengkalan Balak tempahan biliknya sudah penuh khususnya pada hujung minggu.

“Saya sarankan ambil peluang ini terutamanya orang dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang mana diangkat semula sekatan pergerakan perjalanan untuk melakukan tempahan awal kerana saya jangkakan tempoh dua minggu ini sehingga akhir 2020 akan ada kenaikkan mendadak,” katanya.

Langkawi dan Cameron Highlands dikatakan sesak dengan pengunjung berikutan cuti hujung minggu bercamtum dengan cuti sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor.

Bagaimanapun ramai yang meluahkan kebimbangan wujud kluster baharu Covid-19 berikutan pergerakan besar orang ramai ketika jumlah kes wabak itu masih berjumlah ribuan.

(Visited 4,868 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button