fbpx
Ekonomi

Covid-19: Pahang beri kelonggaran pada penjaja tepi jalan, pembinaan

KERAJAAN Negeri Pahang memperkenalkan beberapa kelonggaran pada syarat-syarat berkaitan premis perniagaan dan sektor pembinaan berkuatkuasa serta-merta.

Menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua premis perniagaan dibenarkan beroperasi kecuali yang dilarang di bawah Warta Kerajaan Persekutuan (P.U. (A) 136).

Premis perniagaan yang dimaksudkan termasuk gerai makan tepi jalan berbumbung, pusat penjaja, penjaja tepi jalan sementara dan penjaja beredar.

Bagaimanapun enam kawasan di Pahang atau lokaliti mempunyai kes positif baharu tidak boleh beroperasi sehingga tarikh yang dibenarkan.

Kawasan terbabit adalah Pekan Dong, Pasaraya TF Raub, Pasar Mini Bentong Segar, Flat Benus Bentong, Kilang Rubber Flex, Bentong dan Pasar Mentakab.


“Ujian saringan COVID-19 tidak perlu dilaksanakan sebelum premis dibuka kecuali bagi pekerja warga asing terutamanya dalam sektor pembinaan sebagaimana syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Saringan suhu badan pekerja hendaklah dibuat setiap hari dan direkodkan. Hanya pekerja/peniaga yang mempunyai suhu badan tidak melebihi 37.5 darjah selsius dibenarkan berada dalam premis,” kata Menteri Besar Pahang itu dalam satu kenyataan.

Waktu operasi premis perniagaan bermula pukul 7 pagi hingga pukul 7 malam kecuali bagi sektor yang diperincikan secara khusus.

Bagi sektor pembinaan tidak perlu membuat permohonan kebenaran melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun pengisytiharan atau akujanji perlu dilaksanakan melalui sistem CIMS CIDB.

Sebelum ini kerajaan Pahang mengumumkan bahawa penjawat awam di negeri itu akan menerima Bantuan Khas Aidil Fitri sebanyak RM500 seorang sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1441 Hijrah tahun ini.

Seramai 8,000 penjawat awam daripada Gred JUSA dan ke bawah akan menerima bantuan yang akan dibayar pada 19 Mei ini.

Menurut Menteri Besar Pahang pemberian bantuan khas raya itu sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan mereka kepada Kerajaan Negeri selama ini.

“Saya berharap, Bantuan Khas ini dapat dimanfaatkan sewajarnya, bagi meraikan Hari Raya Aidil Fitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang.

“Saya juga meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) (di Pahang) serta Badan-badan Berkanun Negeri supaya turut melaksanakan pembayaran yang sama,” kata Wan Rosdy.

Terdapat kira-kira 3,500 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di PBT-PBT serta Badan-badan Berkanun di negeri ini. -SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button