Nasional

Raja Muda Perlis lancar Bulan Kesedaran Barah Payudara peringkat MAIPs zon Arau

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan simbolik promosi ‘Bulan Kesedaran Barah Payudara Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bagi Zon Arau’ yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri di perkarangan Klinik Kesihatan Kuala Sanglang pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda ke program sempena kempen ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat dan Bersih’ itu disambut oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim dan Pegawai Perubatan Yang Menjaga Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, Dr Nurhafizah Shamsudin.

Sirajuddin memaklumkan bahawa pada bulan Oktober setiap tahun adalah merupakan bulan kesedaran barah payudara yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai selain mendidik dan menyokong mereka yang menghidap penyakit ini.

Nurhafizah pula menerangkan bahawa kanser payudara boleh dikesan dengan melakukan saringan awal. Wanita seawal usia 20 tahun disaran memantau kesihatan diri dari semasa kesemasa dan mempelajari teknik pemeriksaan sendiri payudara supaya boleh melakukannya sendiri di rumah bagi mengesan keadaan luar biasa pada payudara masing-masing.

Menurut beliau, pengesanan awal kanser payudara adalah penting supaya rawatan dapat dilakukan awal sebelum barah menjadi lebih teruk. Selain itu, peluang untuk sembuh sepenuhnya adalah lebih baik apabila kanser payudara dikesan pada tahap awal. Kesan kanser payudara tidak hanya memberi kesan kepada pesakit, tetapi juga kepada pasangan, anak-anak dan ahli keluarga lain turut merasai tempias penderitaan mereka.

Nurhafizah turut memaklumkan bahawa di bawah Klinik Kesihatan Kuala Sanglang, terdapat 4 klinik desa iaitu KD Sungai Padang, KD Kepala Batas, KD Padang Keria dan KD Serdang yang merangkumi 14,296 orang populasi. Terdapat 64 staf kesihatan perbagai jawatan berkhidmat di klinik yang dirasmikan oleh Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 15 Julai 1966 ini. Antara perkhidmatan yang disediakan merangkumi perkhidmatan pesakit luar, ibu dan anak serta pesakit kronik, perkhidmatan kecemasan, perkhidmatan berhenti merokok dan penjagaan luka, selain klinik pergigian.

Untuk rekod, menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, secara keseluruhan 3 jenis kanser yang paling kerap berlaku di negara ini adalah kanser payudara (19 %), kanser kolorektal (13.5%) dan kanser paru-paru (9.8%). Kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak berlaku di kalangan wanita iaitu 34.1%. Malangnya, 47.9 % daripada keseluruhan kanser payudara yang dikesan pada tahap yang lewat iaitu tahap 3 dan 4 di mana sel kanser telah merebak ke organ lain.

Di akhir program yang sama Tuanku Raja Muda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkenan menyerahkan pelitup muka sumbangan CSR daripada Konsortium Bumita Nepta Sdn Bhd melalui MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada wakil-wakil daripada SJKC Chin Han Sanglang (300) dan SK Sanglang (500).

(Visited 310 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button