Nasional

Tindakan segera kawal pencemaran, elak pemotongan air

Tiada gangguan bekalan air diumumkan walaupun terdapat laporan mengenai pencemaran sungai di Semenyih dan Slim River, Perak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan agensi berkaitan berjaya mengawal pencemaran tanpa menjejaskan operasi dua loji rawatan air (LRA) – LRA Semenyih dan Bernam River Headworks (BRH) LRA.

Dalam kejadian pertama, LUAS mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk menjalankan siasatan menyeluruh di sebuah kilang plastik di Jalan Perindustrian Mahkota Utama, Beranang, pada jam 3.30 petang semalam, susulan kebakaran di premis berkenaan.

Hee berkata LUAS turut mengambil tindakan segera dengan mengawal dan membendung pencemaran menggunakan tiga boom minyak di longkang utama sepanjang 200 meter dari lokasi sehingga bomba berjaya memadamkan kebakaran.

“Bendalir yang terkandung turut dirawat menggunakan 13 beg karbon teraktif (AC) bagi menghilangkan bau kurang menyenangkan sebelum memasuki Sungai Kabul.


“Pemantauan dan persampelan juga dilakukan pada selang 30 minit di beberapa titik di Sungai Kabul dan mendapati bau di sungai itu normal dan tiada kesan kebakaran yang kelihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kejadian kedua, Hee berkata LUAS mengaktifkan manual sama selepas mendapat maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar Perak berhubung pencemaran minyak diesel di Sungai Slim.

Beliau berkata berdasarkan semakan, aliran sungai itu berpotensi menjejaskan operasi BRH LRA kerana sungai di hilir menghala ke Selangor pada jarak 21 kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau juga berkata pemantauan dan pensampelan dijalankan setiap jam menggunakan peralatan Penganalisis UV Mudah Alih bagi memastikan tiada sisa minyak diesel atau bau di dalam sungai.

“Pemantauan berterusan dilakukan sehingga jam 4.30 pagi hari ini dan mendapati tiada kesan atau bau busuk di Sungai Bernam yang menjadi sumber utama bekalan air.

“Pemantauan yang bermula jam 7 malam semalam ditamatkan pada jam 4.30 pagi selepas disahkan tiada risiko mengganggu operasi,” katanya.

(Visited 22 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button