Politik

Mesyuarat UMNO bahagian terakhir sebelum PRU15 – Hishammuddin

MESYUARAT perwakilan bahagian UMNO di seluruh negara yang berakhir ini mungkin adalah yang terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Itu bayangan yang diberikan oleh Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein, seolah-olah memberi gambaran pilihan raya itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, mesyuarat yang berlangsung di seluruh negara itu adalah yang terakhir sebelum ke medan pertempuran PRU-15.

“Kita tiada pilihan selain daripada menjadikan mesyuarat ini sebagai gelanggang bersama-sama mencorak strategi yang ampuh, mempersiapkan senjata dan kelengkapan, menguatkan mental, mengentalkan jiwa, membina keberanian dan paling utama, merapatkan saf dan barisan.

“Ini bagi memastikan langkah kita ke medan pertempuran sederap dan sehaluan. Bak kata pepatah, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, ke gunung sama kita daki, ke lurah sama kita turuni,” katanya seperti yang dipetik daripada BH Online.

Hishammuddin berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sembrong, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong berkata, semua pihak perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan parti.

Katanya, setiap gerak kerja, persiapan dan pelaksanaan strategi ke arah menjamin kemenangan parti mesti mendapat sokongan tenaga padu ahli UMNO kawasan.

“Kita perlu menang bukan untuk saya sebagai Ahli Parlimen atau Ketua Bahagian, bukan juga untuk mana-mana individu dalam UMNO.

“Sebaliknya, kita perlu menang demi maruah dan kelangsungan parti demi mengukuhkan semula kepercayaan rakyat terhadap UMNO, selain memastikan kesucian Islam serta hak bangsa Melayu di negara ini terus terbela,” katanya.

Hishammuddin turut menegaskan kerjasama UMNO-DAP tidak mungkin akan berlaku.

“Penyatuan UMNO dan DAP tidak akan berlaku sampai bila-bila dan itu sebabnya kita perlu menanam tekad sedalam-dalamnya.

“Selagi kita menumpahkan taat setia kepada UMNO, selagi fikiran kita masih waras, selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah kita akan berjuang memastikan penyatuan UMNO dan DAP tidak akan berlaku,” katanya.

 

(Visited 233 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button