Politik

ROS sahkan Dr. Mahathir bukan lagi Pengerusi BERSATU

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini memangku jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Serentak itu, dalam satu surat bertarikh 5 Mei dikeluarkan agensi itu turut mengesahkan bahawa peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU pada 24 Februari lalu adalah sah berkuat kuasa serta-merta.

Surat itu memaklumkan, Muhyiddin boleh memangku jawatan itu hingga diadakan semula pemilihan pengerusi selaras dengan perlembagaan BERSATU.

“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan – iaitu surat peletakan jawatan pengerusi, ROS mengesahkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi BERSATU adalah sah.

“Pemangkuan jawatan Pengerusi BERSATU oleh Muhyiddin, Presiden BERSATU adalah juga sah dan masih berkuat kuasa selaras dengan peruntukan perlembagaan BERSATU sehingga diadakan pemilihan pengerusi baru,” jelas surat itu.

Surat itu menjelaskan, Muhyiddin boleh memangku jawatan itu berdasarkan artikel 16.9 perlembagaan BERSATU yang membenarkan keputusan itu dibuat.

ROS juga memaklumkan penilaian ini dibuat berdasarkan dokumen yang diberikan oleh pihak berkaitan.

Beberapa pemimpin BERSATU sebelum ini menyatakan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai pengerusi BERSATU tidak sah dan bekas Perdana Menteri itu masih menyandang jawatan itu hingga kini.

Dr Mahathir pada Februari meletakkan jawatan Pengerusi BERSATU selepas tidak berpuas hati dengan pendirian partinya yang keluar dari Pakatan Harapan.

Pada 7 April lalu, Jawatankuasa Pemilihan BERSATU sahkan Dr. Mahathir adalah Pengerusi parti itu.

Mengesahkan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ia setelah proses penamaan calon-calon bertanding untuk pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selesai dan ditutup baru-baru ini.

Kemenangan Dr. Mahathir yang diumumkan ketika itu sekali gus menyangkal kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Februari lalu bahawa beliau yang juga Perdana Menteri kini memangku jawatan pengerus parti itu.

Dalam satu kenyataan akhir Februari lalu, Muhyiddin berkata, beliau kini memangku jawatan Pengerusi Bersatu susulan keputusan Dr Mahathir berundur daripada jawatan itu pada 24 Februari.

Menurut Muhyiddin, tugas memangku jawatan tertinggi parti itu selaras Fasal 16.9 perlembagaan Bersatu yang menyatakan bahawa jawatan pengerusi akan kekal kosong sehingga pemilihan semula diadakan.

“Jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baharu.

“Bersatu belum mengadakan pemilihan untuk memilih pengerusi yang baharu, justeru saya selaku presiden memangku jawatan Pengerusi Bersatu sehingga pemilihan diadakan kelak,” kata beliau. – SM

(Visited 95 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button