Jenayah

Tidak sampai 24 jam polis berjaya berkas empat suspek samun pemandu teksi

Tidak sampai 24 jam selepas menyamun seorang pemandu teksi, empat suspek berjaya diberkas polis di sebuah hotel di Bukit Baru, Melaka kira-kira pukul 6.30 petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 26 hingga 39 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.

Menurutnya, mereka dipercayai telah menyamun seorang pemandu teksi berusia 72 tahun di Jalan Parit Keliling menghala ke Rim Jasin kira-kira pukul 2.00 petang Rabu itu.

Beliau berkata, hasil serbuan yang dilakukan itu polis menemui semula teksi Proton Iswara berwarna merah yang turut dilarikan suspek tidak jauh dari hotel tempat mereka menginap.

Teksi milik seorang wargaemas berusia 72 tahun turut dilarikan oleh empat suspek.

Jelasnya, mereka yang ditahan terdiri daripada penjual tisu, penggangur dan dua pekerja am.

“Empat suspek terbabit menyewa teksi mangsa untuk ke Jasin di stesyen bas Tampin kira-kira pukul 1.00 petang kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian salah seorang suspek yang tidak dikenali telah menyuruh mangsa menghentikan kenderaannya di dalam kebun kelapa sawit sebelum bertindak mencekik
leher serta memukulnya hingga tidak sedarkan diri.

“Mangsa yang kemudiannya tersedar mendapati dirinya berada di kawasan semak kebun kelapa sawit dalam keadaan berdarah,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad berkata, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, lebam mata sebelah kiri, bibir bengkak dan kaki sebelah kiri bahagian paha turut bengkak akibat dipukul.

Jelasnya, mangsa turut mengalami kerugian apabila dompetnya yang berisi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, wang tunai sebanyak RM300, telefon bimbit, kunci rumah dan teksi dilarikan kumpulan penyamun terbabit.

“Hasil siasatan kesemua suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik,” katanya.

Justeru katanya, polis berjaya mendapatkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula Khamis hingga 24 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – SM

(Visited 31 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button