Ekonomi

Gading Kencana bina ladang solar ke-4 bernilai RM150 juta di Perak

SYARIKAT tenaga boleh diperbaharui terkemuka negara Gading Kencana Sdn. Bhd. akan membina ladang solar berskala besar (LSSB) keempatnya di Bidor, Perak.

Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng berkata, ladang solar berkapasiti 40 megawatt itu akan dibina di atas tanah seluas 42 hektar.

Menurutnya, pembinaan ladang solar itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan yang akan bermula pada tahun 2022 dan berakhir pada 2024.

Jelas beliau, sehingga kini Gading Kencana telah membuat pelaburan bernilai kira-kira RM514 juta di Perak.

Guntor berkata, terdapat beberapa faktor Gading Kencana memilih Perak sebagai destinasi pelaburan utama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan mesra alam sekitar.

Antaranya kerana Perak mempunyai banyak tanah bekas lombong dan tanah yang tidak digunakan dan boleh dijadikan sebagai tapak ladang solar berskala besar.

Nilai tanah yang dibangunkan itu akan meningkat dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, perniagaan kepada kontraktor dan memberi nilai ekonomi kepada kerajaan negeri dalam bentuk cukai.

“Yang kedua saya kagum, saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Perak kerana kerajaan baharu ini saya lihat mesra perniagaan. Masa adalah wang bagi ahli perniagaan.

“Isu yang tertangguh selama sembilan bulan pun Menteri Besar boleh selesaikan dalam sebulan. Itu satu petanda yang baik. Di perak, pihak berkuasa tempatan mesra kepada pelabur.

“Dan proses permohonan kebenaran merancang ini selalunya di tempat lain mengambil masa yang panjang tetapi di Perak dalam dua bulan atau kurang kita akan dapat keputusan,” kata Guntor dalam sidang akhbar yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Riduan hari ini.

Guntor yang mewakili Gading Kencana menandatangani perjanjian persefahaman berkaitan Inisiatif Tenaga Boleh Diperbaharui Negeri Perak dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) yang diwakili olek Ketua Pengawai Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Datuk Saarani Mohamad. Turut hadir Pengarah Eksekutif Gading Kencana, Datin Hasnah Awang.

Hasanah, Guntor dan Redza Rafiq berbual selepas majlis selesai.

Ketika ini Gading Kencana mempunyai satu ladang solar berskala besar di Bidor, Perak dengan nilai pelaburan berjumlah RM214 juta dan sebuah lagi sedang dibangunkan di kawasan sama bernilai RM110 juta.

Syarikat itu juga sedang membina empangan tenaga hidro di Sungai Gedong, Perak bernilai RM40 juta selain mempunyai sebuah ladang solar berskala besar di Melaka dengan jumlah pelaburan berjumlah RM80 juta.

Guntor yakin Perak akan menjadi negeri peneraju tenaga hijau di Malaysia kerana negeri itu mempunyai tenaga solar berkapasiti 540MW dengan 21 projek.

Sementara itu Saarani berkata, PKNPk akan membentuk formula, strategi dan rangka kerja perancangan dan pembangunan Inisiatif Tenaga Boleh Diperbaharui secara menyeluruhndi Perak.

“Ia akan melibatkan program-program pelaksanaan dan insentif, sesi libat urus bersama sektor swasta atau pelabur,” katanya.

Redza Rafiq dalam sidang akhar tersebut berkata, syarikat Gading Kencana dipilih kerana merupakan syarikat pertama yang membina ladang solar berskala besar di Perak.

“Gading Kencana merupakan pemain pertama dan kita memilih syarikat ini untuk program ini kerana kita lihat dari segi keseluruhan kemudahan sokongan fizikal.

“PKNPk akan menerokai prospek baru dalam industri solar yang bakal membuka peluang dan ruang nilai tambah ekonomi dalam sektor perlombongan, hiliran, pembuatan, kemudahan dan sebagainya,” kata Redza Rafiq.-SM

 

 

 

 

(Visited 634 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button