fbpx
Ekonomi

Bank Rakyat peruntuk RM300 juta bantu PKS

Bank Rakyat, bank koperasi Islam terbesar di negara ini terus memacu ke hadapan dengan memberikan fokus untuk membantu koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perniagaan mikro serta terus menumpukan kepada segmen perniagaan teras runcit, antaranya Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Ar-Rahnu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Rosman Mohamed berkata Kempen BizCare yang dilancarkan baru-baru ini memperuntukkan dana berjumlah RM300 juta untuk tujuan tersebut.

Beliau turut menambah bahawa Bank Rakyat telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang konsisten secara purata berjumlah RM1.6 bilion setiap tahun bagi lima tahun belakangan ini dan membolehkan Bank untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan pelanggan yang setia bersama Bank Rakyat selama ini.

“Prestasi ini juga membolehkan Bank menterjemahkannya dalam bentuk pulangan dividen berjumlah dua digit kepada anggota selama lebih daripada 10 tahun serta sumbangan zakat dan hibah melebihi RM30 juta; yang dijayakan menerusi semangat kerja berpasukan yang tinggi oleh semua lapisan warga kerja dan keteguhan Jawatankuasa Pengurusannya yang antara lainnya memberi perhatian terhadap aspek pemasaran dan pemulihan kredit,” tambah beliau.

Pada masa yang sama hala tuju BR25 yang diumumkan sebelum ini akan dinilai semula berikutan keperluan dan kehendak segmen pelanggan pastinya berubah selepas pasca COVID-19 yang akan mengubah seluruh landskap ekonomi.


Bank Rakyat baru-baru ini mengumumkan penamatan perkhidmatan Pengerusinya, Datuk Noripah Kamso berkuat kuasa 4 April 2020. YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) ketika mengulas berkata “Jawatan Pengerusi Bank Rakyat ialah bukan eksekutif dan pelantikan serta pembatalan adalah termaktub di bawah bidang kuasa Menteri MEDAC di bawah Seksyen 1 (2) bagi pelantikan dan 2(2) bagi pembatalan pelantikan di bawah Jadual Pertama Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202).”

“Ini juga sejajar dengan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002. Bank Rakyat akan memastikan calon yang terbaik akan dilantik dan Pengerusi baharu nanti akan terdiri dalam kalangan profesional.

Pelantikannya juga tertakluk kepada proses pengesahan kriteria Layak dan Sesuai yang dijalankan bersama pihak berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia bagi memastikan calon berkenaan berkeupayaan untuk mengawasi Bank secara strategik. Bank akan mematuhi standard tadbir urus yang tinggi seperti mana yang diharapkan oleh para pemegang kepentingan dan anggota,” tambah beliau.

YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi turut menegaskan bahawa “Pengerusi Bank Rakyat akan berperanan sebagai Pengarah Bukan Bebas Eksekutif (Non-Independent Non- Executive) yang bermaksud bahawa Pengerusi tidak memegang sebarang kuasa eksekutif atau tanggungjawab di dalam Bank.

“Pengerusi berperanan untuk menggalakkan perbahasan sihat dalam isu kritikal dalam kalangan ahli Lembaga menerusi pertimbangan bebas dan mengekalkan keraguan profesional.

“Ketua Pegawai Eksekutif akan meneraju serta diamanahkan untuk mengurus dan mengawal aspek operasi perniagaan Bank,” katanya. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button