fbpx
EkonomiPolitik

Kerajaan Sarawak beri notis kepada Petronas agar jelaskan cukai jualan produk petroleum

KERAJAAN Negeri Sarawak pada 1 Januari 2019, menguatkuasakan Cukai Jualan ke atas produk petroleum yang merupakan antara hak kerajaan negeri seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun, cuma Petronas yang tidak menjelaskan cukai tersebut meskipun tempoh diberikan kerajaan negeri sehingga 31 Oktober 2019 telah berlalu.

Justeru, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg hari ini berkata notis akan diberikan kepada Petronas bagi menuntut syarikat itu membayar.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan syarikat minyak nasional itu berdepan tindakan undang-undang.

“Di bawah Ordinan SST 1998, Petronas bertanggungjawab membayar SST dan kegagalan berbuat demikian sama seperti melanggar undang-undang,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2020) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Percukaian itu diumum Ketua Menteri pada pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2016) menerusi sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 5 November 2018.

Hasil daripada pengenalan cukai itu bakal menjana pulangan RM3.9 bilion kepada kerajaan Negeri Sarawak.

Berdasarkan Jadual 10 Perkara V(7) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Sarawak dibenarkan mengenakan cukai jualan negeri.

Dalam pada itu, Belanjawan Negeri Sarawak 2020 akan terus menumpukan pembangunan di luar bandar menggunakan peruntukan RM9.891 bilion.

Johari berkata daripada jumlah belanjawan itu, RM6.597 bilion untuk perbelanjaan pembangunan manakala RM3.294 bilion untuk perbelanjaan operasi.

Katanya, mengambil kira anggaran jumlah pendapatan sebanyak RM10.067 bilion dan jumlah cadangan perbelanjaan biasa sebanyak RM9.694 bilion, cadangan Belanjawan 2020 dijangka menjana lebihan sebanyak RM373 juta.

“Kerajaan negeri telah melaksanakan usaha bersepadu untuk meningkatkan aliran pendapatannya melalui penyusunan semula asas pendapatannya untuk membolehkan negeri mengekalkan momentum pembangunannya dan sejajar dengan kadar pembangunan yang pesat terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan jumlah pembiayaan yang besar,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button