Ekonomi

Firefly perkenal operasi jet pada suku pertama 2021

MALAYSIA Aviation Group (MAG) mengumumkan operasi jet bagi anak syarikatnya, Firefly Airlines akan bermula pada suku pertama 2021.

Untuk tujuan itu, Firefly akan menambah 10 jet berbadan sempit secara berperingkat dalam kumpulan itu untuk pasaran domestik, ASEAN dan Asia Pasifik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAG Kapten Izham Ismail dalam kenyataan hari ini berkata perjalanan domestik dan jarak dekat paling menjadi pilihan mengikut persekitaran semasa, justeru, ia bersesuaian untuk memenuhi permintaan dari kawasan utara.

“Ini sejajar dengan rancangan perniagaan jangka panjang kumpulan untuk disesuaikan mengikut keadaan semasa dan akan datang selepas COVID-19 dengan tumpuan memperkukuh aliran pendapatan bagi kedua-dua anak syarikat,” katanya.

Susulan rancangan ini, Firefly akan melengkapi syarikat induknya, Malaysia Airlines Bhd (MAB) untuk memberi perkhidmatan di samping mempelbagaikan pangkalannya yang menghubungkan bandar sekunder di Malaysia ke Malaysia Timur, Thailand, Indonesia dan Singapura.

MAG berkata ia akan memanfaatkan sumber dan tenaga kerja yang ada dalam kumpulan itu dan berpotensi menggunakan pesawat Boeing 737-800 dari MAB yang memberi peluang untuk menumpukan kepada rangkaian pasaran premiumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Philip See berkata Firefly bersedia untuk menggalas cabaran itu berikutan ia melihat potensi kukuh bagi strategi dua hab di samping mengekalkan perkhidmatan bilah kipas turbo di luar Subang Skypark dan memberi perkhidmatan kepada pengembara korporat dan santai.

Menerusi operasi jet baharu itu, Firefly akan menawarkan konsep perkhidmatan yang fleksibel – pemisahan produk untuk disesuaikan kepada pelanggan santai dan pengguna sensitif harga.

Firefly berkata penumpang akan terus menikmati keistimewaan dan perkhidmatan seperti syarikat penerbangan premium. Ini termasuk elaun bagasi berdaftar dan mata Frequent Flyer Enrich dengan pilihan tempat duduk dan manfaat perlindungan insurans.

Pelaksanaan operasi jet Firefly di hab Pulau Pinang memerlukan pelaburan yang minimum oleh MAG pada 2021 dengan jangkaan peningkatan pengeluaran yang diukur mengikut purata kerusi bagi setiap kilometer sebanyak 36 peratus untuk tempoh lima tahun akan datang. – BERNAMA

(Visited 307 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button