Politik

Pas Perak mohon ampun kepada Sultan Perak

Pas Negeri Perak merafak sembah permohonan ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan ADUN dari parti itu kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata parti itu sentiasa menjunjung tinggi institusi kesultanan negeri Perak dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Nazrin.

“Kami dengan rasa rendah hati menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Perak atas kekhilafan tidak menghadap sebagaimana titah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan pada Selasa, 8 Disember pukul 3 petang,” katanya dalam sidang media di pejabat Badan Perhubungan Pas Perak, Ipoh.

ADUN Gunung Semanggol bersama ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Ustaz Mohd Khalil Yahaya mengadakan sidang media bersama disertai beberapa pimpinan Pas Perak yang lain.

Sultan Nazrin telah menitahkan wakil daripada Pas dan BERSATU supaya menghadap baginda bagi mendapat pendirian parti masing-masing dalam menentukan pelantikan Menteri Besar Perak, pada Selasa lalu.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sentiasa menghormati dan menjunjung kedaulatan institusi beraja sentiasa memastikan selayaknya sebarang urusan yang berkaitan dengannya perlu ditekuni dengan penuh teliti dan beradab.

“Adapun dalam hal kehadiran ke Istana Perak, disebabkan Pas tidak mahu terkhilaf dalam membuat keputusan terutama jika ianya bersabit dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan, maka Pas mengarahkan semua ADUN Pas untuk hadir ke Istana setelah menerima Titah Menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak.

“PAS akan berusaha dan berikhtiar bersama rakan parti Perikatan Nasional untuk menyelesaikan kemelut politik Perak secara berhemat dan terbaik demi masa depan Agama, Bangsa dan Negara,” ujarnya.

(Visited 922 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button